Bajet 2017 – Alhamdulillah Gaji Naik?

3893

Bajet 2017 yang baru sahaja dibentangkan di Parlimen oleh YAB Perdana Menteri kita baru-baru ini, boleh disifatkan sebagai gula-gula tahunan yang wajib diberikan kepada rakyat Malaysia. Pelbagai janji-janji manis yang ditabur dalam pembentangan bajet saban tahun sebagai indikasi kononnya ekonomi negara sedang berkembang pesat dan rakyat jangan ragu-ragu.

Tidaklah menjadi rahsia kepada kita bahawa, banyak peruntukan kerajaan yang lalu telah dipotong, lambat membuat bayaran kepada projek-projek tertentu yang sebahagian besarnya dikendalikan oleh kontraktor kecil-kecilan. Ditambah lagi dengan kejatuhan harga minyak dunia yang mana sumber terbesar negara melalui Petronas bersama nilai ringgit, lebih menambah keperitan pengurusan kewangan negara. Pun begitu, kerajaan masih tidak mengaku akan keadaan parah yang telah disedari oleh rakyat, masih berpusing-pusing memberikan alasan.

Contoh terbaik kesan kejatuhan minyak ialah negeri Terengganu. Sebanyak 30 peratus bajet tahunan dipotong tahun lalu yang berjumlah kira-kira RM600 juta, sehinggakan tempias potongan itu turut terkena kepada adik-adik yang cemerlang didalam pelajaran mereka dengan pengumuman pemberhentian tajaan pelajar-pelajar cemerlang belajar ke luar negara. Ada jawapan daripada Exco pendidikan pada Sidang Dun Mac tahun ini, bahawa bayaran kepada pelajar yang sepatutnya dibayar pada Januari, masih belum dijelaskan walaupun ketika itu sudah memasuki bulan Mac. Membayangkan betapa teruknya keadaan kewangan Terengganu, sehinggakan satu ketika, pendidikan turut dimanipulasikan.

minyak masak naik harga1Saya yakin, keadaan tidak banyak berubah tahun 2017 kerana sudah jelas, bajet pendidikan dipotong lagi tahun ini oleh kerajaan pusat, meninggalkan landasan yang jelas bahawa, amat tipis harapan oleh rakyat bagi kerajaan negeri menaikkan semula bajet pendidikan bagi anak-anak Terengganu yang cemerlang. Ditambah pula dengan harga minyak dunia yang tidak banyak berubah semenjak awal tahun ini, mungkinkah akan dipotong lagi peruntukan pendidikan negeri? Sepatutnya yang dipotong ialah bajet kepada PERMATA kendalian isteri YAB PM, Datin Seri Rosmah Mansor yang saban tahun mendapat kenaikan peruntukan.

Semalam dinyatakan pula bahawa harga minyak masak melebihi satu kilogram akan dihapuskan subsidi. Hanya minyak yang beratnya satu kilogram kebawah bernilai RM2.50 sahaja yang masih dikekalkan subsidi. Umum mengetahui jika sesuatu yang berkaitan dengan barang keperluan naik harga, kesan berantai akan terjadi kepada barang-barang lain. Penghapusan subsidi minyak masak ini akan menyebabkan harga makanan akan naik dengan pelbagai alasan yang akan diberikan. Ketika itu kerajaan seperti biasa akan mengulangi skrip sama iaitu tindakan akan diambil kepada peniaga-peniaga yang menaikkan harga barang. Seorang dua akan ditangkap sebagai formaliti. Menteri akan turun buat pemantauan yang datang bersama gerombolan pegawai-pegawainya dan dengan penuh keyakinan memberitahu massa bahawa harga barang dalam keadaan terkawal.

Senario kedua yang bakal berlaku dengan kenaikan harga ini ialah para peniaga pastinya akan menggunakan semula minyak masak bagi menjimatkan kos operasi mereka dengan lebih kerap. Bayangkan kesihatan kita yang terpaksa kita korbankan kerana kenaikan ini. Minyak masak yang diguna berkali-kali amat tidak baik bagi kesihatan kita. Sudahlah makanan mahal, kesihatan pula boleh terjejas. Juga boleh berlaku peningkatan permintaan kepada minyak kitar semula yang mungkin bercampur dengan minyak tidak halal. Memang kita boleh makan di rumah, tetapi bukan semua orang boleh, majoritinya tidak sempat terutama yang tinggal di kota raya. Dan yang menghairankan saya ialah, bagaimana peniaga mendapat maklumat kenaikan harga minyak masak bakal berlaku lantas mereka menyembunyikan bekalan? Perlukan kepada siasatan menyeluruh oleh pihak berwajib.

Akan tetapi tidak mengapa. Semuanya boleh diuruskan kerana rakyat mendapat kenaikan BR1M. Bukan sahaja kakitangan mendapat kenaikan tahunan, rakyat biasa yang miskin juga mendapat kenaikan ‘gaji’ mereka. Dengan GST yang menekan golongan miskin, dan menyelamatkan golongan kaya, rakyat miskin tetap tidak kisah itu semua kerana BR1M telah dinaikkan. Syukur kata mereka. Kemudian gula-gula ditabur lagi dengan menambah peruntukan dana-dana oleh kerajaan negeri terutamanya menjelang raya, awal persekolahan, menjadikan ianya seperti bonus kepada rakyat. Tetapi malang bagi rakyat kerana tidak sedar Umno-BN mengutip semula wang itu menerusi GST, kenaikan harga barang, tol dan lain-lain.

Bangunlah rakyat sekelian. Jangan biarkan gula-gula ini menjadi punca penyakit kita. Ambil duit, ambil bantuan, ambil segala pemberian yang halal, itu duit kamu, tetapi jika mahu selamat, buang Umno-BN kerana punca penyakit terbesar dan kesusahan rakyat Malaysia ialah Umno-BN. InsyaAllah PAS akan menggantikan Umno-BN dengan pemerintahan yang lebih adil berlandaskan al-Quran dan Sunnah insyaAllah. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
27 Muharram 1437 bersamaan 28 Oktober 2016