Badan PBB Kumpul Data Dan Maklumat Kekejaman Terhadap Rohingya

1319

Majlis Hak Asasi Manusia PBB mengundi untuk menubuhkan sebuah badan untuk menyediakan bukti pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar, termasuk pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya untuk pendakwaan di masa hadapan.

Majlis 47 anggota mengundi sebanyak 35 undi menyokong dan tiga tidak, dengan tujuh abstensi, pada hari Khamis memihak kepada resolusi yang dibawa oleh Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)

Tiga negara iaitu China, Filipina, dan Burundi mengundi tidak menyokong usaha PBB itu.

Setahun yang lalu, tentera Myanmar mengetuai tindakan keras di Rakhine sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Arakan Rohingya Salvation Army (RSA) terhadap 30 polis Myanmar dan pangkalan tentera.

Lebih 700,000 Rohingya melarikan diri dari tindakan kejam itu dan kebanyakannya kini tinggal di kem pelarian di negara jiran Bangladesh.

Resolusi ini membentuk badan untuk “mengumpul, menyatukan, memelihara dan menganalisis bukti jenayah antarabangsa yang paling serius dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan di Myanmar sejak tahun 2011, dan menyediakan fail untuk memudahkan dan mempercepatkan prosiding jenayah yang adil dan bebas”.

Agensi baru ini akan bekerjasama rapat dengan pendakwaan di masa hadapan yang dibawa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang mengatakan awal bulan ini bahawa ia mempunyai bidang kuasa atas pengusiran Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh.