Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
Pagi yang indah di musim tengkujuh ,menyebar rasa ngeri melihat gulungan ombak ganas Laut China Selatan yang menghentam hamparan pantai pasir bersih Rusila. Pagi Jumaat barokah ini berdesakan dengan ribuan pengunjung masjid Rusila untuk berteleku, mengunyah ilmu yang akan disampaikan oleh Ayah Chik. Kehadiran pagi Jumaat kali ini berganda daripada Jumaat yang lain kerana pagi ini adalah ulangtahun lima dekad Ayah Chik menyampaikan kuliah ilmu . Tanpa lelah dan bosan , mencerahkan lantera akal ummah, bahkan berhujung dengan naskah magnum opus ” Tafsir atTibyan” yang menjadi buah tangan terbesar mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Dunia Islam itu.
Pagi ini dengan euforia gembira mengiringi pelangi sambutan Jubli Emas yang menghimpunkan santri kuliah dhuha masjid Rusila sejak dasawarsa 1970an. Sebahagian teman- teman mencicip aroma teh masala di rumah Dr Khalil Abdul Hadi sejak jam 7.30 pagi, mengakar ukhuwwah semahal tempayan emas. Segenap penjuru Rusila memenuh dengan khalayak berketayap, bertudung labuh, malah ada yang membesar dengan garis sejarah emas Masjid Rusila dan pengajian Ayah Chik.
Bukan sekadar menjadi medan berkumpul anak anak didik Ayah Chik meracik ukhuwwah namun pagi ini juga seolah reunion generasi haraki yang tumbuh melalui perkaderan sekolah dan kampus dekad 80an ,90an dan selepas itu. Guratan wajah kelompok kelas menengah Melayu alumni SMASZA, SESMA, SS, SMATJ serta puluhan sekolah sekolah menengah yang lain sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang . Hebahan program sambutan ulangtahun ke 50 puluh tahun ini menyebar semenjak dua bulan lepas sehingga bilik- bilik inap desa penuh dibooking sejak sebulan lepas. Aura Ayah Chik sangat kuat getahnya, semua merasa seolah diseru nama untuk berhimpun, bahkan bernostalgia tentang lorong waktu yang telah ditinggalkan .
Aku berdesut ke masjid Rusila seawal subuh dari daerah paling hujung Terengganu, anak- anak lebih awal bergerak dengan penuh keterujaan kerana pastilah pagi Jumaat hujung November ini juga menjadi pot pertemuan alumni MDQ Rusila. Lima belahan jiwaku mencicip ilmu dilahan Rusila yang damai, sejak ibdadie sehingga tersenyum dipagar kampus dalam dan luar negara. Itulah niat semenjak anak- anak ini menjengah pada rahim ibu mereka, Muhammad Jundullah, Najwa, Nusaibah, Muhamad Mujahid dan Mujahidah. Semua anak- anak akan diasuh di “sekolah masjid” ( gelaran pada MDQ ).
Masjid Rusila tetap sakral dihati kami yang menyintai ilmu dan perjuangan, ianya bukan sekadar masjid namun tempat zuriatku dibaiah untuk menggalang perjuangan menegakkan Islam . Bukan untuk mengkultuskan Ayah Chik, namun itulah sebuah tugu kepercayaan pada sang murabbi. Aku sendiri mulai menjejak kaki di masjid perjuangan ini pada jumaat pertama Februari tahun1984 dengan temanku , Badrul Hisham. Anak remaja mentah yang bertarung dalam nuraninya dua jalur obsesi, Cliff Burton dan Tuan Guru Ayah Chik!. Juga sempat juga aku yang ” cap ayam” ini menjadi sebahagian daripada asatizah yang mencurahkan ilmu di bangku pengkuliah masjid Rusila yang ikonik ini.
Ramai juga diluar sana bukan sahaja membenci tanpa sebab namun tak memahami apakah ilmu yang diajar oleh sesepuh perjuangan ini terutama dalam dekad kemuncak fenomena Ayah Chik 80an. Mulut dan tangan mereka menghujat ajaran sesat sedangkan pelbagai kitab- kitab thurath diajar termasuk kitab Munyatul Musolli, Sairus Salikin, Aljawahirul Saniyah, kitab Sirah dan juga kitab – kitab kontemporari . Ditengah pekatnya fahaman sekular dalam masyarakat Melayu akhir dekad 70an dan 80an, sosok ulama muda haraki ini mengajar bab akidah, batas batas iman dan kufur termasuk mensyarahkan kitab ‘Al Islam’ sebuah mahakarya Sheikh Said Hawwa, naqib beliau di Madinah.
Pengajian mingguan di masjid Rusila ini adalah rutin mingguan Ayah Chik melainkan beliau mempunyai program di luar negara. Namun kuliah dhuha jumaat tetap berjalan dengan pengkuliah jemputan atau pun dekad terakhir ini oleh Dr Khalil atau pimpinan yang lain. Mengenai tafsir at Tibyan yang sedang fenomenal, kitab tafsir ini asal muasalnya daripada kuliah pagi jumaat Ayah Chik di masjid Rusila sejak tahun 1976. Disusun kembali oleh pasukan khas setelah menghampiri lima dekad pengajaran kuliah dhuha Jumaat Ayah Chik
Perkampungan Rusila pula tempat berlangsungnya kuliah ilmu hari jumaat, bukan sekadar terhampar pasir putih dengan deruan ombak namun perdesaan pinggir Laut China Selatan ini tertegaknya pondok tradisi pengajian Islam yang pernah disinggahi para pejuang Pahang seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Dato Bahaman. Rusila juga tempat singgahan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong yang bersahabat dengan Haji Yusuf Rusila yang merupakan moyang kepada Ayah Chik. Kedua tokoh ini belayar untuk berniaga di Pulau Jawa yang akhirnya terinspirasi dengan Sarekat Islam Indonesia.
Asal muassal masjid Rusila dibina selepas kejatuhan kerajaan Pattani Darussalam yang dijajah oleh kafir Siam. Para ulama daripada Pattani membuka pondok- pondok pengajian agama mulai daripada Besut sehinggalah ke Kemaman. Pondok pengajian agama tersohor di Bukit Bayas, Pondok Paya Bunga, Pondok Pulau Duyong . Masjid Rusila terbina awal daripada gabungan dua buah rumah kayu di Kampong Nelayan Rusila yang akhirnya menjadi fungsi tempat pengilmuan kepada masyarakat setempat.
Pondok Rusila popular di Terengganu dizaman Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang sezaman dengan Muallim Abdul Wahid Uthman Sungai Udang Melaka. Kuliah jumaat yang memberikan ilmu kepada masyarakat dipencar daripada mimbar masjid Rusila oleh Tuan Guru Haji Awang Abdul Rahman ( Pengerusi Hizbul Muslimin cawangan Terengganu ) . Kuliah jumaat di masjid kayu yang dikelilingi oleh pepohonan kelapa itu menggema kepada masyarakat agrarian bahkan itulah titik pesona terbesar di daerah Marang sehingga sekarang.
Masjid ini jugalah yang menjadi tapak himpunan ratusan ribu pencinta perjuangan Islam melalui program Ijtimak ‘alami atau Ijtimak antarabangsa yang bermula pada tahun 1988, 1993 dan juga pada tahun 2015. Pelbagai gerakan Islam serta tokoh- tokoh panutan ummah dijemput bertandang di masjid Rusila . Gerakan Islam kontemporari seperti Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami, HAMAS, An Nahdhah, Jamaatul Ulama Pakistan, Parti Refah, Parti Saadet Turki, kumpulan Mujahidin Afghanistan, Partai Keadilan Sejahtera, Partai Bulan Bintang, pelbagai gerakan Islam lain di Nusantara.
Impak penyampaian ilmu oleh Tuan Guru juga boleh dibuktikan secara imperikal dan non imperikal. Pertengahan dasawarsa 70an masih lagi dalam selimut ” the blue eyes mentality” di bumi Terengganu. Pelajar pelajar lelaki sekolah menengah masih berseluar pendek, masih tidak menutup aurat bagi pelajar perempuan ,manakala main pantai ( pesta puja pantai ) yang berteras animisme masih diamalkan. Ayah Chik juga menjawat jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu terus gigih mencerahkan akal masyarakat sehinggalah arus kebangkitan semula Islam awal abad 15 hijrah turut melanda negeri Terengganu. Fenomena menutup aurat, bercambahnya pusat- pusat pendidikan Islam pra sekolah, sekolah rendah Islam, halaqah- halaqah ilmu berkembang dengan pesat. Langkah untuk menanggani ‘ fenomenal Haji Hadi’ termasuk daripada pihak kerajaan sendiri yang terpaksa melaksanakan Dasar Penerapan Nilai Islam ( Islamisasi ) pada tahun 1983.
Awal dekad 1980an kehadiran masyarakat ke masjid Rusila meningkat dengan drastik. Tamparan hebat PAS Terengganu yang hilang semua kerusi dalam PRU 1978, maka masjid Rusila serta nama ulama muda tarbiah Ikhwanul Muslimin, Tuan Guru Ayah Chik telah membentuk fenomena besar kebangkitan semula Islam terutama anak- anak muda. PAS juga hilang negeri Kelantan dalam pilihanraya 1978, hanya tinggal dua kerusi DUN sahaja bertahan sebagai simbol batu nesan yang memerihkan nurani. Gelombang kebangkitan semula harakatul ummah ini disemai dengan jihad ta’ lim.
Masjid Rusila menjadi tempat tajnid yang agresif dalam dekad 1980an, mimbar Masjid ini pada malam selasa setiap minggu mensyarahkan kitab Ma’alim fi Toriq karya Assyahid Sayid Qutb . Aktiviti usrah, tamrin, mukhaiyyam, ijtimak bergelombang membentuk rijal- rijal dakwah yang akhirnya menyebar ke merata tempat termasuk ke bumi Borneo.
PAS sendiri mengalami transformasi kepimpinan, iaitu era kepimpinan ulama pada tahun 1982 dimana Ayah Chik antara simbol ikonik anak- anak muda menjulang perjuangan Islam. Masjid Rusila menjadi pusat kebangkitan Islam hingga puluhan ribu orang menggerumuni perkampungan Rusila setiap Jumaat . Keseriusan Ayah Chik memberikan ilmu kepada masyarakat bukan kepalang. Jadual program malam jumaat dikosongkan untuk menelaah pelbagai sumber muktabar.
Catatan kuliah Dhuha Ayah Chik juga disebarkan dalam bentuk salinan fotokopi oleh panitia pengajian, rakaman manual kuliah pengajian oleh pelbagai pihak. Seingat penulis antara penyebar kaset kaset utama kuliah jumaat Ayah Chik ialah Pak Su Noor seterusnya Pustaka an Nadwah Batu Buruk , Pustaka attibyan , Pustaka al Jihad Kota Bharu dan lain lain penerbit. Awal dekad 80an kaset kaset kuliah dan ceramah Ayah Chik seperti goreng pisang panas. Ianya mengulangi strategi kumpulan penyokong khomenei di Iran yang menyebarkan jutaan kaset kuliah dan ceramah sehingga meledaknya revolusi the black Friday pada tahun 1979.
Fenomena Ayah Chik dalam dekad 1980an paralel juga dengan pengaruhnya dalam bidang politik . Beliau menjadi anggota legislatif berpengaruh malah dua kali menghiasi muka depan majalah tersohor ‘ Asiaweek’. Badan Perhubungan PAS Terengganu mencadangkan untuk menubuhkan sebuah sekolah perkaderan dengan menggunakan silibus Mesir . Tokoh – tokoh PAS Terengganu dicadangkan menjadi tenaga pengajar sekolah tajnid ini seperti Ayah Chik sendiri, Ustaz Husein Awang, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Raja Sulong, Ustaz Asnawi, Ustaz Mahmud Sulong, Ustaz Mohamad Ali dan lain lain tenaga pengajar. Maahad Darul Quran Rusila yang ditubuhkan pada tahun 1985 mengambil pelajar- pelajar anak aktivis PAS daripada Besut ke Kemaman. Kini alumni MDQ Rusila dengan puluhan ribu ahli menjadi nukleus perjuangan Islam yang menyebar ke seluruh negara.
PAS Pahang juga menghantar anak- anak aktivis mereka untuk bermukim ilmu di MDQ Rusila, bahkan lapisan pimpinan muda Pahang juga kini terdiri daripada alumni ” sekolah masjid” Rusila. MDQ juga mengukuhkan Rusila dan Ayah Chik sebagai pengkalan ilmu dan sosok ilmuan gerakan Islam . Ribuan santri MDQ ditarbiah secara langsung di Rusila oleh Ayah Chik sehingga ada kalangan mereka telah menjadi anggota legislatif dibeberapa buah negeri.
Pagi Jumaat yang indah ini, kami mendepang telinga, menyulam penuh nikmat pesan pesan berharga yang keluar daripada mulut sang murabbi ini. Berteleku dengan guratan wajah paling bahagia mendengar untaian sejarah Rusila, perjuangan Islam dan sisi sisi kenangan terowong masa Ayah Chik. Terpanar mendengar pengkisahan yang juga telah menguras seluruh hidup Ayah Chik yang telah diwakafkan untuk perjuangan Islam dan dakwah. Dekad 80 an , mehnah dan tribulasi sangat luarbiasa, ada yang ditukar tempat kerja kerana menghadiri kuliah dhuha di Masjid Rusila, sekatan jalanraya diadakan untuk mengekang kehadiran kuliah dhuha.
Pagi ini setelah lima dekad , segalanya berubah dengan drastik. Dekad 80an, lori- lori kayu satu tan mengangkut masyarakat desa untuk menadah kitab di Masjid Rusila. Pasar Jumaat Rusila paling meriah dekad itu, menjadi tumpuan peniaga – peniaga beragam barang dagangan. Masjid Rusila juga tempat ramai bertemu jodoh anak- anak amilin PAS. Ayah Chik adalah figura antarabangsa yang dimiliki oleh negara kita walaupun diterjang tanpa henti oleh pembencinya sepanjang zaman. Dia tak lelah menyampaikan ilmu dan terus mencari ilmu, mempunyai Ijazah Master pada pertengahan dekad 70an. Menolak pelbagai tawaran yang menggiurkan untuk hidup selesa ,namun memilih untuk mendidik ummah tanpa ada sekatan dan perlu berbasa basi dengan penguasa.
Sayu apabila Ayah Chik merakamkan ucapan perasmian sambutan Jubli emas kuliah Dhuha Masjid Rusila. Juga penghargaan kepada seluruh yang pernah berjasa dalam mengimarahkan lahan pendidikan ummah Rusila. Seperti ungkapan Dr Khalil , satu keteladanan yang wajib kita ambil daripada ayahanda sang murabbi. ” Istiqomah dalam menyampaikan ilmu samada susah atau senang ,sibuk atau lapang” . Anak murid Sheikh Abu Bakar aljazair, Sheikh Yasin Alfadani , anak usrah Sheikh Said Hawwa ( Ikhwanul Muslimin Syria ) ini walau disengat kesakitan dan keuzuran tetap meletakkan kepentingan ummat dihadapan ketimbang kerehatan dan kepentingan peribadinya. Semoga Allah merahmati serta memberikan kesihatan yang sempurna kepada sang murabbi yang kami cintai, Ayah Chik!.
(Penulis ialah AJK PAS PUSAT, Pengerusi LESTARI)










