Terengganu, Malaysia
Rencana

Membina Keharmonian Hidup Berjiran

file_00000000dc008207a68b71e40f91bbac

Dalam meniti kehidupan, Islam menekankan betapa pentingnya untuk menjalinkan hubungan yang baik dan erat dalam kalangan masyarakat.

Suruhan ini tidak hanya terhad kepada sesama masyarakat Islam sahaja, 4
malah ia melangkaui semua agama, bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa
dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam
PengetahuanNya.

Kehidupan kita tidak dapat dipisahkan daripada hubungan kejiranan sama ada di bandar atau di kampung. Jiran bermaksud orang yang tinggal bersebelahan atau berdekatan dengan rumah kita.

Namun, makna jiran dalam Islam jauh lebih luas dan mendalam. Jiran adalah individu atau keluarga yang berkongsi ruang hidup dengan kita, yang melihat keluar masuknya kita dari rumah, dan yang paling awal akan mendengar jeritan kita jika ditimpa musibah.

Dalam Islam, jiran meliputi mereka yang berada dalam jarak 40 buah rumah dari setiap arah; depan, belakang, kanan dan kiri rumah kita. Oleh itu, jiran boleh terdiri sama ada muslim atau bukan muslim.

Islam meletakkan kedudukan jiran pada darjat yang amat istimewa dan mereka mempunyai hak-hak syarie yang wajib ditunaikan. Sabda Rasulullah SAW, aksudnya: Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dapat difahami daripada hadis ini bahawa besarnya tanggungjawab seorang Muslim terhadap jirannya, tanpa mengira latar belakang agama atau keturunan.

Jiran Muslim mempunyai hak sebagai Muslim dan hak sebagai jiran, manakala jiran bukan Muslim tetap mempunyai hak sebagai jiran yang wajib dihormati dan dilindungi keselamatannya.

Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa, ayat 36, maksudnya: Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang
dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri.

Konsep hidup berjiran dalam Islam berpaksikan kepada prinsip ’at-Ta’ayush al-Silmi’ atau hidup bersama secara aman dan harmoni.

Ia bukan sekadar tinggal bersebelahan, tetapi melibatkan interaksi yang sihat dan saling menjaga kepentingan bersama. Ia menuntut setiap individu untukmenjaga batas-batas peribadi jirannya, di samping sentiasa bersedia menghulurkan bantuan tanpa diminta.

Selain itu, konsep berjiran merangkumi tanggungjawab ‘Takaful’ atau saling menjamin. Rasulullah SAW pernah memberikan amaran keras bahawa tidak beriman seseorang yang tidur dalam keadaan kenyang sedangkan dia tahu jirannya sedang kelaparan.

Ini menunjukkan bahawa pentingnya sistem sokongan sosial yang baik dalam hidup berjiran.

Islam telah menetapkan beberapa adab berjiran yang mesti diamalkan bagi
menjamin keharmonian, antaranya ialah:

Pertama : Memuliakan jiran dan tidak menyakiti mereka.

Muliakanlah jiran dengan memberikan salam dan senyuman ketika bertemu.
Jangan sesekali menyakiti jiran dengan perbuatan kita seperti membuat bising, mengeluarkan kata-kata yang tidak baik atau memberi ancaman kepada jiran, membiarkan haiwan peliharaan membuang najis, pencemaran bau, mengganggu dan merosakkan tanaman jiran serta membuang sampah hingga masuk ke kawasan jiran dan sebagainya.

Sabda Nabi SAW, naksudnya: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jirannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kedua: Saling memberi pemberian atau hadiah.

Pemberian tidak semestinya dalam bentuk harta yang besar, namun ingatan
tulus ikhlas itu mampu memadamkan api permusuhan dan menyuburkan kasih
sayang.

Ketiga: Menutup aib jiran.

Sebagai orang yang paling dekat, kita mungkin secara tidak sengaja
mengetahui rahsia atau kekurangan keluarga jiran kita. Janganlah kita
menyebarkannya kepada orang lain. Islam melarang kita daripada
menyebarkan keaiban orang lain.

Keempat: Memberi bantuan dan pertolongan ketika jiran kesusahan.

Apabila jiran sakit, kita ziarahi; apabila jiran ditimpa musibah, kita bantu dan apabila jiran meninggal dunia, kita bantu uruskan. Doakanlah kebaikan untuk jiran-jiran kita. Kesemua adab-adab ini jika diamalkan, akan menjadikan masyarakat kita kukuh seperti satu bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain.

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, khatib menyeru agar kita semua
terus menyuburkan akhlak yang mulia dan sentiasa berusaha memelihara
sebaiknya kehidupan berjiran.

Ingatlah, keharmonian sesebuah negara bermula daripada keharmonian di peringkat kejiranan. Jika setiap daripada kita berjaya menjadi jiran yang baik, maka akan lahirlah masyarakat yang aman, dan seterusnya negara yang makmur dan diredhai Allah SWT.

(Khutbah Jumaat Masjid-masjid Terengganu 27 Novrmber 2026)

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan