Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia kini melihat keseriusan anak-anak muda rakyat Malaysia semakin celik di dalam membicarakan sebarang isu-isu yang membabitkan perjalanan politik di dalam negara Malaysia ini samada melalui bentuk tulisan, perbahasan, perdebatan, wacana ilmiah, sesi forum dan dialog serta [elbagai lagi kaedah yang digunakan untuk menyampaikan hasrat dan maksud pendirian politik kepartian mereka.
Namun sehingga Mei 2013 telah dinyatakan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) iaitu hampir 2 juta lebih rakyat negara ini yang telah mencapai usia 21 yang ditetapkan sebagai pemilih atau pengundi di dalam negara Malaysia masih lagi gagal untuk berbuat demikian kerana pelbagai faktor dan alasan.
Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia menganggap sikap yang tidak serius dan berlepas tangan pihak kerajaan Malaysia adalah faktor utama pendorong kegagalan untuk mendaftarkan mereka-meraka ini sebagai pengundi yang sah. Sepatutnya pihak kerajaan telah dapat menggabungjalinkan usahasama semua pihak-pihak jabatan kerajaan yang berkenaan dengan bancian rakyat supaya dapat memberikan kerjasama kepada pihak SPR dalam bentuk data atau maklumat terkini kelahiran, kematian dan sebagainya


Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia dengan ini akan melancarkan satu gerakan massa yang menuntut supaya pihak kerajaan dan pihak SPR supaya dapat diwujudkan sistem pendaftaran secara Automatik kepada rakyat Malaysia yang telah berumur 21 tahun sebagai pemilih yang berdaftar dan sah.
Gerakan Massa dengan nama “AUTO21” ini akan dimulakan dengan penghantaran Memorandum kepada pihak SPR untuk menuntut sistem ini dlaksanakan oleh pihak SPR dengan persetujuan pihak kerajaan Malaysia pada 01 Julai 2014, Selasa jam 10.30 pagi di Pejabat SPR Putrajaya. Ketua Pemuda PAS Malaysia, Saudara Suhaizan Kaiat akan mengetuai penyerahan memorandum tersebut.
Seterusnya pada 05 Julai 2014, Sabtu pada jam 3 petang bertempat di Dataran Kompleks Membeli Belah Sogo, Kuala Lumpur, Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu akan mengetuai majlis perasmian pelancaran “AUTO21” kepada rakyat Malaysia. Acara tersebut akan turut diserikan dengan pembacaan sajak, puisi dan lagu perjuangan, lagu patriotik oleh pihak artis-artis jalanan yang dijemput khas.
MOHD SANY BIN HAMZAN
PENGARAH
JABATAN PILIHANRAYA PEMUDA PAS MALAYSIA
30 Juni 2014



























