Ashabul Kahfi: Kristian Atau Muslim

164

Soalan: Adakah wujud kisah Ashabul Kahfi disebutkan di dalam Bible sebagaimana yang dinyatakan PMX?

Jawapan: Tidak

Soalan: Adakah kisah Ashabul Kahfi disebutkan di dalam Taurat?

Jawapan: Tidak

Soalan: Adakah kisah Ashabul Kahfi disebutkan di dalam al-Quran?

Jawapan: Ya. Kisah Ashabul Kahfi merupakan kisah benar mengenai sekumpulan pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua. Di dalam Surah al-Kahfi ayat 9 hingga 26, diceritakan kisah beberapa orang pemuda beriman yang telah melarikan diri ke sebuah gua dan bagaimana Allah SW menidurkan mereka selama 309 tahun.

Soalan: Jadi, dari manakah kisah Ashabul Kahfi muncul di dalam agama Kristian?

Jawapan: Riwayat terawal yang ditemui adalah ia merupakan kisah yang di bawa dalam khutbah singkat dalam gereja Ortodoks Timur yang dikarang oleh seorang pemuisi terkenal dari Eddessan iaitu Jacob of Sarug (450-521 Masihi). Lihat Gibbon, Edward. The History of the Decline and Fall of the Roman Empire, (London: Penguin Classics, 2001). 387-388; Al-Majdub, Ahmad ‘Ali. Ahl al-Kahf fi al-Injil wa al-Tawrah wa al-Qur’an, (Kaherah: al-Dar al-Misriyyah al-Lubnaniyyah, t.t.) 58.

Soalan: Apakah sebab turun ayat 9-26 daripada Surah al-Kahfi

Jawapan: Beberapa orang pendeta Yahudi telah menyampaikan kepada wakil pembesar Quraisy yang menghantar Uqbah bin Abi Mu’ayt dan Nazar bin Harith untuk bertanya kepada Rasulullah SAW tentang tiga perkara:

i. Pemuda-pemuda yang keluar dari masa lampau.
ii. Lelaki yang telah sampai ke timur dan barat bumi.
iii. Roh.
Huraian Ibn Kathir secara panjang lebar berkenaan tiga persoalan boleh diteliti secara lebih lanjut. Lihat Ibn Kathir. Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, (Riyadh: Dar Taybah, 1999), 5: 136.

Tujuan pertanyaan itu adalah untuk menguji Rasulullah SAW kerana kisah Ashabul Kahfi memang masyhur dalam kalangan para pendeta Yahudi dan agak mustahil diketahui “orang luar”. Kalau Baginda seorang Nabi dan Rasul, sudah tentu hal ini diketahui. Jika sebaliknya, terbukti Baginda penipu. Setelah berlalu 15 hari, Jibril datang dan membawakan wahyu berupa jawapan bagi ketiga-tiga persoalan tersebut.

Soalan: Apakah definisi Kristian?

Jawapan:
1. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, Kristian adalah agama yg penganut-penganutnya mempercayai bahawa Nabi Isa ialah anak Tuhan. Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=Kristian

2. Menurut Alkitab, perkataan “Kristian” hanya dipakai tiga kali sahaja di dalam Perjanjian Baru dan setiap contoh merujuk kepada “Kristian” di dalam gereja awal.

“…dan selama setahun mereka berkumpul dengan jemaah di situ sambil mengajar banyak orang. Di Antiokha, untuk kali pertama pengikut-pengikut Yesus disebut orang Kristian” (Kisah Rasul-Rasul 11:26).

“Raja Agripa bertitah kepada Paulus, ‘Kamu fikir kamu boleh menjadikan beta seorang Kristian, dalam tempoh yang singkat ini?’” (Kisah Rasul-Rasul 26:28).

“Tetapi jika kamu menanggung penderitaan oleh sebab kamu orang Kristian, janganlah malu kerananya. Bersyukurlah kepada Allah, kerana kamu pengikut Kristus” (1 Petrus 4:16).

Mereka digelar “Kristian” kerana kelakuan, perwatakan serta pertuturan yang mirip dengan Yesus Kristus. Istilah “Kristian” bermaksud, “pengikut Yesus Kristus” ataupun “mereka menjadi kepunyaan Yesus.”

Kesimpulannya, Kristian adalah seseorang yang telah menerima Yesus Kristus sebagai Juruselamat mereka dan mempunyai satu hubungan peribadi dengan Yesus Kristus.

Apakah ciri-ciri seorang Kristian? Seorang penganut Kristian tidak dapat tidak, mesti berpegang dengan Apostles’s Creed. Apa intipatinya? Konsep triniti iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak, dan Roh Kudus.

Soalan: Bolehkah menyatakan bahawa Ashabul Kahfi itu beragama Kristian?

Jawapan: Saya nampak, sudah ada sedikit salah faham timbul dalam kalangan masyarakat awam dalam memahami isu ini apabila kenyataan PMX agak tergantung. Misalnya, ada seorang hamba Allah menulis, “Agama mereka adalah Nasrani (kini dipanggil Kristian).”

Ini kesimpulan yang tersasar.

Apa yang jelas dalam kitab-kitab tafsir bi al-ma’thur, Ashabul Kahfi tidak dinisbahkan sebagai Nasrani atau Masihi, kecuali dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (2: 114), Ibn Kathir menyatakan mereka beragama Nasrani. Penisbahan mereka kepada agama Nasrani boleh ditemui dalam kitab-kitab tafsir bi al-ra’yi misalnya oleh Ibn ‘Asyur.

Saya cenderung kepada penjelasan al-Tabari bahawa mereka dinyatakan sebagai “Muslim mengikut agama ‘Isa”. Lihat al-Tabari. Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an, (Giza: Dar Hijr, 2001), 15: 162. Bahkan, inilah kesepakatan umat Islam dan seluruh para ulama’. Sabda Rasulullah SAW:

‌الْأَنْبِيَاءُ ‌إِخْوَةٌ ‌لِعَلَّاتٍ: ‌دِينُهُمْ ‌وَاحِدٌ، ‌وَأُمَّهَاتُهُمْ ‌شَتَّى

Para nabi bagaikan saudara sebapa, agama mereka satu [Islam], dan syariat mereka berbeda-beda.” (Riwayat Ahmad, no. 9632)

Boleh jadi Ashabul Kahfi berada dalam kelompok Ibiyuniyyah (Ebionites), kelompok Yahudi pengikut ajaran Nabi Isa yang menolak ketuhanan Nabi Isa dan menganggap Baginda hanya seorang utusan Allah. Mungkin sebab itulah kisah mereka menjadi buah mulut para pendeta Yahudi Madinah turun temurun. Cuma kita tidak boleh lagi panggil mereka “Kristian” kerana Kristian kemudiannya telah pun menyesatkan mereka. Lihat Rev. J. M. Fuller, “Ebionism and Ebionites”, dalam Henry Wace (ed.) Wace Henry. Dictionary of Christian Biography and Literature to the End of the Sixth Century A.D., with an Account of the Principal Sects and Heresies, (Massachusetts: Hendrickson Publishers, t.t.), 608; Hakkinen, S. “Ebionites” dalam A Companio to Second-Century Christian Heretics, ed. Antti Marjanen & Petri Luomanen, (Netherlands: Brill), 272.

Sebagai penuntut ilmu yang dilatih dalam bidang Akidah, Perbandingan Agama, dan Pemikiran Islam sejak peringkat Sarjana Muda sehingga kini sebagai calon Doktor Falsafah (doakan urusan tesis saya dipermudahkan), pendefinisian dan rujukan kepada etimologi amat dititikberatkan kerana ia adalah nilai keadilan yang kita letakkan kepada satu-satu perkara.

Justeru, pandangan saya tidak sesuai lagi dan tidak tepat – pada masa kini – untuk menyatakan mereka beragama Kristian.

Soalan: Tapi, mengapa kitab oleh temui ada pandangan ulama silam dan kontemporari yang menisbahkan mereka kepada Nasrani?

Jawapan: Ia sesuai pada zaman dan uruf tertentu apabila masyarakat memahami bahawa penisbahan Nasrani itu merujuk kepada pengikut Nabi Isa yang membawa ajaran yang bukan difahami sebagai ajaran Kristian hari ini.

Secara peribadi – tanpa mengurangkan rasa hormat kepada PMX – saya tetap berpandangan ucapan beliau agak tergantung dan boleh menimbulkan kekeliruan dan konteks umat Islam di Malaysia sehingga “terpaksa” diperjelaskan pula oleh sebahagian asatizah dan pendakwah. Jika beliau kekal sahaja dengan terjemahan teks al-Qur’an tanpa menyebut “kalau kita cerita begini, orang Kristian pun senang…”, itu sudah memadai kerana fokus beliau dalam video berkenaan adalah menceritakan tentang komitmen Ashabul Kahfi kepada pendirian / akidah mereka.

Kaedah fiqh menyebut

عادة جمهور قوم في قول أو فعل

“Adat kebiasaan sesuatu kaum adalah pada pertuturan dan perbuatan mereka.” Lihat al-Zarqa. Mustafa Ahmad. al-Fiqh al-Islami fi Thawbihi al-Jadid, Beirut: Dar al-Fikr, 1968), 557.

Saya yakin tidak ada dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang memahami Ashabul Kahfi sebagai penganut Kristian (dengan kefahaman Kristian pasca Persidangan Nicea). Kita diajar Ashabul Kahfi itu mengikut ajaran Nabi Isa, dan beriman dengan agama Allah. Definisi Kristian yang saya bawakan di atas sudah memadai untuk menjadi hujah.

Para ulama menggunakan uruf sebagai asas pembinaan hukum berdasarkan athar yang diucapkan oleh Abdullah ibn Mas’ud:

ما رأى المسلمون حسنا فهو عند الله حسن ، وما رآه المسلمون قبيحا فهو عند الله قبيح

“Apa yang umat Islam melihatnya sebagai kebaikan, maka ia dianggap baik di sisi Allah. Apa yang umat Islam melihatnya sebagai keburukan, makai a dianggap buruk di sisi Allah.” (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat, no., 3602)

Menamakan mereka sebagai penganut Kristian amat janggal sekali dalam pemahaman, bahasa dan kebudayaan umat Islam di Malaysia, walaupun tidak salah dalam uruf di tempat lain atau masa lalu.

Kesimpulan

Kisah Ashabul Kahfi tidak dinyatakan dalam Bible. Mereka adalah Muslim, mengikut ajaran Nabi Isa yang asal, bukan penganut Kristian.

Semoga isu ini selesai dengan baik tanpa lanjutan perbalahan. Dari sudut positif, saya pasti sudah ramai mendapat ilmu baharu dalam isu ini, baik yang pro mahupun kontra. Kita doakan sesiapa sahaja yang mengangkat kisah ini dengan niat yang baik, dirahmati Allah SWT.

Ashabul Kahfi kekal sebagai kisah yang tidak dihuraikan lanjut dalam al-Qur’an kerana objektif dalam kisah itu adalah untuk kita meneladani keteguhan iman mereka. Itulah yang wajar kita pegang dan hayati bersama. Wallahu a’lam.

*Gambar ketika di Masjid Agung Çamlıca, Üsküdar, Istanbul, Türkiye. Anjing Ashabul Kahfi besar lagi kot dari anjing-anjing di Türkiye ni?

MOHAMAD RAZIF BIN MOHAMAD FUAD
https://t.me/raziffuad