Apabila Politik Dipisahkan Daripada Agama

167

Apabila politik dianggap tiada kaitan dengan agama, maka politik dirosakkan, termasuklah ahli politik juga ikut bersama. Inilah yang menjadi penyakit kronik kepada sekularisme dengan segala ideologinya. Sekalipun perubahan atau reformasi dilakukan oleh para pemikir atau golongan yang dinamakan sebagai ahli falsafah dalam kalangan mereka.

Mereka sering kali menyebutkan tentang keperluan integriti, ‘good governance’ (tadbir urus yang baik), kedaulatan undang-undang dan lain-lain kata slogan yang dicipta dan hanya indah khabar daripada sebutannya. Hal ini demikian kerana laksana jasad yang tiada roh yang memandu akal dan ilmu, dan boleh berubah menjadi penipu kerana politik kenegaraan dianggap di luar daripada ilmu Allah SWT dan hukuman-Nya.

Rasulullah SAW telah memberikan suatu amaran dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi RH, bahawa sesungguhnya bencana akan menimpa umat Islam apabila berlakunya beberapa perkara. Antaranya apabila amanah yang besar itu dianggap sebagai satu peluang keemasan yang dikejar dan dicintai dengan melulu. Hal tersebut sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

‌إِذَا ‌كَانَ ‌المَغْنَمُ ‌دُوَلًا، وَالأَمَانَةُ مَغْنَمًا، وَالزَّكَاةُ مَغْرَمًا.

“Apabila harta berpusing dalam kalangan mereka yang tertentu, amanah (menjadi pemimpin) dianggap peluang keemasan (untuk mendapat habuan), dan zakat pula dianggap sebagai cukai.” (Riwayat al-Tirmidhi 2210)

Manusia dihinggapi suatu penyakit ingin menjadi pemimpin dengan nafsu mengatasi akal dan ilmu. Fenomena yang pesat berlaku dalam politik sekular, sama ada melalui saluran demokrasi yang telah dinodai politiknya ataupun melalui kekerasan dengan rampasan kuasa. Sehingga perkara tersebut telah mencetuskan peperangan dan akhirnya bertukar kepada pemerintahan secara diktator (dictatorship) yang lebih zalim.

Menyentuh tentang perkara ini, maka Rasulullah SAW bersabda:

‌إنَّا ‌وَاللهِ ‌لَا ‌نُوَلِّي ‌هَذَا ‌العَمَلَ ‌أَحَدًا ‌سَألَهُ، أَوْ أحَدًا حَرَصَ عَلَيْهِ.

“Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak melantik seseorang menjadi pemimpin kepada seseorang yang meminta-minta jawatan atau seseorang yang terlalu bernafsu berkehendak kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari 7149 dan Muslim 1733)

Begitu juga sabda Baginda SAW kepada sahabatnya:

‌لَا ‌تَسْأَلِ ‌الْإِمَارَةَ، فَإِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا، وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا.

“Janganlah meminta dilantik menjadi pemimpin. Jika kamu dilantik tanpa memintanya, nescaya kamu akan diberikan pertolongan (hidayah oleh Allah SWT). Jika kamu meminta jawatan (itu), nescaya akan dibebankan ke atas kamu (tanpa hidayah dan pertolongan Allah SWT).” (Riwayat al-Bukhari 6722 dan Muslim 1652)

Maka, jawatan yang penting dalam politik berkonsepkan sekularisme akan diusahakan untuk mendapatkannya secara rakus, tanpa akhlak dan maruah diri. Sehingga ada kalangan yang berusaha mendapatkannya dengan apa sahaja cara sekalipun, sehingga matlamat menghalalkan cara. Khususnya melalui cara yang haram seperti pemberian rasuah, penipuan dan pembohongan kepada rakyat dan pemaksaan dengan zalim. Inilah antara kekotoran yang dilakukan dalam politik berkonsepkan duniawi tanpa panduan agama yang berwawasan akhirat.

Mereka yang berada di puncak kuasa lebih mudah menyalahgunakan kedudukan jawatannya kerana menganggap dirinya berada di tempat paling tinggi dan di luar kuasa Tuhan, kerana kuasa politik bagi mereka bukannya kepunyaan Allah SWT. Oleh itu, tiada perhitungan dosa dan pahala dalam pemikiran mereka dan terselamat daripada hukuman undang-undang kerana mereka paling berkuasa mengatasi undang-undang. Pada masa yang sama, mereka tidak mempercayai adanya balasan selepas mati dan Hari Akhirat.

Mereka yang berada di tampuk pemerintahan bersama dengan kroninya dalam sebuah negara komunis dan sosialis, didapati lebih menjadi penyangak daripada negara kapitalis setelah mereka dijatuhkan, atau setelah kini meninggalkan ideologi yang dianutinya. Maka, amalan politik berkonsepkan liberal kapitalisme bertopengkan demokrasi suara rakyat juga ditimpa dengan penyakit yang sama, dan lebih terbuka kerana kebanyakan rakyat dianggap mudah ditipu dan mudah lupa.

Walaupun terdapat kalangan yang percaya kepada agama dan diikat dengan sumpah untuk menjunjung Kitab Injil, begitu juga sebahagian dalam kalangan Muslim yang terpengaruh dengannya turut bersumpah dengan menjunjung al-Quran (sedangkannya bukan cara Islam). Akan tetapi, pada hakikatnya mereka tidak beramal dengan hukum yang terkandung di dalamnya. Firman Allah SWT:

﴿مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ٥﴾

“Perumpamaan orang-orang yang diberikan tugas memikul Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (mengamalkannya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-Jumu‘ah: 5)

Adapun politik Islam yang berprinsipkan aqidah dan iman, akan mengawal diri daripada akibat di dunia sehinggalah alam selepas meninggal dunia yang sangat menakutkan. Namun begitu, kewajipan berpolitik dan pahalanya juga sangat besar. Firman Allah SWT:

﴿وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ٢٤ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ٢٥ أَوَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنَ الْقُرُونِ يَمْشُونَ فِي مَسَاكِنِهِمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ أَفَلَا يَسْمَعُونَ٢٦﴾

“Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberikan petunjuk dengan perintah Kami selama mereka sabar. Dan mereka meyakini ayat-ayat Kami. (24); Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang memberikan keputusan antara mereka pada Hari Kiamat tentang apa yang selalu mereka perselisihkan padanya. (25); Dan tidakkah menjadi petunjuk bagi mereka, betapa banyak umat-umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, sedangkan mereka sendiri berjalan di tempat-tempat yang menjadi kediaman umat itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah). Maka, apakah mereka tidak mendengar (memerhatikan)? (26).” (Surah al-Sajdah: 24-26)

Allah SWT menceritakan bahawa para pemimpin yang berpegang dengan agama akan mendapat hidayah, setelah mereka berjuang dengan sabar dalam menghadapi cabaran yang banyak kerana perjuangannya.

Allah SWT menceritakan betapa kerajaan terdahulu yang kaya-raya dan bertamadun kebendaan sahaja tanpa panduan agama dimusnahkan, sama ada seorang individu mahupun kumpulan berkuasa yang disebutkan dengan al-Mala’.

Malangnya rakyat yang tidak cakna terhadap politik atau generasi yang jahil sering kali menjadi mangsa korban politik yang kotor itu, ditipu berulang kali dan terus leka sampai akhir hayat. Mereka yang disebutkan oleh Allah SWT dalam kalangan yang lemah dan terpengaruh dengan golongan zalim yang berkuasa tanpa hidayah agama. Firman Allah SWT:

﴿وَبَرَزُوا لِلَّهِ جَمِيعًا فَقَالَ الضُّعَفَاءُ لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا فَهَلْ أَنْتُمْ مُغْنُونَ عَنَّا مِنْ عَذَابِ اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ قَالُوا لَوْ هَدَانَا اللَّهُ لَهَدَيْنَاكُمْ سَوَاءٌ عَلَيْنَا أَجَزِعْنَا أَمْ صَبَرْنَا مَا لَنَا مِنْ مَحِيصٍ٢١﴾

“Dan mereka semua (di padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap Allah (untuk dihisab), lalu berkatalah orang-orang yang lemah kepada orang-orang yang sombong itu: ‘Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikut kalian, maka dapatkah kalian menghindarkan diri daripada kami berupa azab Allah (walaupun) sedikit sahaja?’ Mereka menjawab: ‘Seandainya Allah memberikan petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberikan petunjuk kepadamu. Sama sahaja bagi kita, apakah kita mengeluh ataupun kita bersabar. Sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melepaskan diri (daripada azab).’” (Surah Ibrahim: 21)

Islam juga mewajibkan para pemimpin mencukupi syarat ‘adalah (bermoral tinggi) di samping syarat keimanan, keilmuan serta kelayakan jasad, roh dan akal. Seorang individu yang fasiq (tidak berakhlak) adalah haram dilantik menjadi pemimpin dan memegang jawatan penting dalam sesebuah kerajaan.

Para pemimpin dan petugas utama yang mengikut Islam wajib diikat dengan akad baiah (janji kesetiaan), dan mereka tidak perlu menjunjung al-Quran sepertimana yang dilakukan oleh sebahagian kalangan manusia. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِه وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا١٠﴾

“Bahawasanya orang-orang yang berbaiah (berjanji setia) kepada kamu, sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka sesiapa yang melanggar janjinya nescaya akibat setelah melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri; dan sesiapa yang menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang besar.” (Surah al-Fath: 10)

Setiap ketua negara dan petugas yang besar serta penting diwajibkan berbaiah untuk mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya secara mutlak. Hal yang tersebut bagi melaksanakan tugas dengan baik dan ketaatan rakyat kepada mereka adalah bersyarat dengan mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya. Semua pemimpin diwajibkan berlaku adil dan berada di bawah syariat Allah SWT, tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang-Nya.

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian menunaikan segala amanah kepada mereka yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kalian) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kalian menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan suatu pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri (para pemimpin) antara kalian. Kemudian jika kalian berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Oleh yang demikian, itu lebih utama dan lebih baik akibatnya. (59).” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Amanah paling besar dan mulia ialah mentadbir negara (politik), maka Islam mewajibkan ketaatan mutlak kepada nas daripada Allah dan Rasul-Nya dalam perkara qat’iyyat (perkara yang tidak mungkin dapat dicapai oleh kemampuan akal dan ilmu manusia) dan juga perkara qiyas (perbandingan persamaan yang tiada nas). Khususnya apabila terdapat perkara baru sepanjang zaman, termasuklah juga dalam perkara yang menjadi Ijma‘ (sepakat) para ulama’. Pada masa yang sama, Islam juga mewajibkan syura (bermesyuarat) dengan mereka yang adil dan mempunyai keahlian dalam lapangannya.

Khusus dalam perkara qat‘iyyat (dasar atau prinsip yang tidak boleh berubah), Allah SWT berfirman menjelaskannya:

﴿وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا٣٦﴾

“Dan tidaklah seharusnya bagi setiap lelaki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguh dia telah sesat, dengan kesesatan yang nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

Adapun berkenaan konsep bermesyuarat pula, Allah SWT telah berfirman:

﴿فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ١٥٩﴾

“Maka disebabkan rahmat daripada Allah itulah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri daripada berada di sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah keampunan bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan tersebut. Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 159)

Demikianlah perintah Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW yang dilantik secara wahyu dan dipelihara dengan kawalan wahyu daripada melakukan dosa, namun begitu Baginda SAW juga diwajibkan bermesyuarat.

Allah SWT meletakkan senarai bermesyuarat (syura) selepas perintah mendirikan solat, sebagai suatu sifat terpuji bagi orang-orang yang beriman. Firman-Nya:

﴿وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ٣٨﴾

“Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Surah al-Syura: 38)

Islam mengharamkan ‘dictatorship’ (pemerintah kuku besi) yang memaksa rakyat, sama ada yang bersifat individu seperti Firaun dan Namrud atau berkumpulan yang dinamakan dengan al-Mala’. Al-Quran memaparkan kisah para Rasul yang menentangnya ketika berdakwah, sekali gus menunjukkan bahawa tiada pemisahan politik daripada agama dan dakwah Islam. Konsep yang diharamkan itu sering kali wujud dalam pemerintahan sekularisme, termasuk dalam sistem demokrasi apabila sampai ke puncak kuasa kerana tidak beriman kepada balasan Allah yang Maha Berkuasa.

Islam melaksanakan konsep pengasingan kuasa (separation of powers) sejak beberapa abad mendahului sistem sekular, khususnya demokrasi moden yang hampir kepada Islam dan pengaruh tamadunnya dalam aspek pengasingian kuasa. Walaupun begitu, demokrasi tetap mengalami kelemahan yang ketara kerana tiada kawalan dan pengawasan agama.

Rasulullah SAW menunjukkan teladan pemimpin yang adil dalam pelaksanaan konsep pengasingan kuasa dengan tidak menyalahgunakan kedudukannya sebagai pilihan Allah SWT, apabila menangani pertelingkahan dengan rakyat biasa melalui proses mahkamah. Seterusnya, amalan tersebut diikuti oleh para Khulafa’ al-Rasydin dan mereka yang mengikuti contohnya. Firman Allah SWT:

﴿لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا٢١﴾

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kalian pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (rahmat) Allah dan (balasan baik) pada Hari Akhirat, serta dia juga menyebut-nyebut dan mengingati Allah sebanyaknya (ketika masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab: 21)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 27 Julai 2021 / 17 Zulhijjah 1442