Sebelum hari ini, Parlimen didesak supaya segera bersidang oleh ahli-ahli Parlimen Pembangkang dan juga ahli-ahli Parlimen ‘pembangkang’ dalam Kerajaan.

‘Perintah darurat perlu segera dibatalkan’, gesa mereka.

Jangan derhaka kepada Yang Di Pertuan Agong’, getus mereka lagi.

‘Sidang parlimen akan membantu Kerajaan menangani Pandemik Covid-19 dengan cadangan-cadangan baru yang bernas dan di luar kotak oleh pihak Pembangkang juga’, kata mereka lagi.

Hari ini, barulah saya faham.

Mereka mahu bercakap semahu-mahunya di Parlimen dan mahu mendengar suara mereka sendiri sahaja.

Suara YDP Dewan dan TYDP Dewan pun mereka tak mahu dengar.

Suara mewakili Kerajaan tidak akan diberi peluang bercakap langsung. Mereka akan mengganggu percubaan Kerajaan untuk memberikan penerangan atau menjawab soalan.

Ajaib sungguh. Mereka hanya berminat mengemukakan soalan demi soalan sahaja. Walaupun soalan-soalan yang berulang. Saya amat kagum dengan ketaksuban mereka untuk mendengar suara sendiri sahaja.

Mereka sudah ada keputusan awal untuk tidak mahu mendengar jawapan. Jika Kerajaan jawab, mereka akan marah dan naik darah.

Mereka mahu sidang Parlimen tanpa YDP Dewan yang mengendalikan sidang. Mereka mahukan sidang Parlimen yang mereka saja boleh bercakap. Pihak Kerajaan pun tak perlu bercakap.

Mereka sangat syok mendengar suara-suara mereka di Parlimen. Syok sendiri.

Agaknya jika sidang Parlimen berlangsung tanpa penyertaan YDP Dewan dan ahli-ahli Parlimen Kerajaan, mungkin mereka tetap akan menjerit, bertekak dan menyindir sesama sendiri pula.

Maklumlah setiap orang mahu bercakap dan berhak untuk bercakap.

Akhirnya yang mereka berlegar pada persoalan ‘Kenapa Kerajaan membatalkan Perintah Darurat’. ‘Kenapa cepat sangat batal, tak tanya kami ahli-ahli Parlimen?’.’Kerajaan terlalu melulu membatalkan darurat’. ‘Perbincangan mengenai darurat adalah penting’….bla… bla… bla…

Mereka bukan mahu menyelesaikan masalah. Mereka hanya mahu pastikan masalah gagal dirungkai. Tak kiralah apa kos yang terpaksa ditanggung oleh rakyat dan negara.

Oh Parlimenku!

Zakaria Ismail
Marang, 26 Julai 2021