THE HAGUE (Belanda): Seorang anggota parlimen Belanda yang anti-Islam bercadang membentuk satu pakatan antarabangsa bagi menyebarkan perutusan ke seluruh negara Barat dalam percubaan mengharamkan penghijrahan dari negara Islam.
Geert Wilders (gambar) dalam satu wawancara kelmarin berkata beliau akan melancarkan pergerakan itu lewat tahun ini, bermula di lima negara – Amerika Syarikat, Canada, Britain, Perancis dan Jerman.
‘Perutusan ‘hentikan Islam, pertahan kebebasan’ penting bukan saja bagi Belanda, bahkan dunia Barat bebas,’ katanya dalam parlimen Belanda.
Antara matlamat pakatan itu ialah mengharamkan penghijrahan dari negara Islam ke negara Barat, dan melarang undang-undang Syariah.
Dengan bermula sebagai sebuah pergerakan akar umbi, beliau berharap ia akan mewujudkan anggota parlimen sendiri atau dapat mempengaruhi anggota parlimen lain.
Jurucakap umat Islam di Belanda, Ayhan Tonca, berkata beliau bimbang perutusan Wilders itu akan tersebar di sebahagian besar Eropah, tempat sentimen anti-Islam kian meningkat.
‘Selagi wujud masalah ekonomi, banyak pihak mahu mencari orang untuk dipersalah. Buat masa ini yang dipersalah ialah umat Islam di Eropah,’ kata Encik Tonca, yang menggesa ‘mereka yang berfikiran waras di Eropah agar menentang perkara tersebut’.
Wilders, yang menyifatkan Islam sebagai agama ‘fasis’, melihat sokongan baginya semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan, meskipun beliau terpaksa diberi perlindungan 24 jam sehari disebabkan adanya ancaman bunuh ke atasnya.
Parti Kebebasan pimpinannya menduduki tempat ketiga dalam pilihan raya Belanda bulan lepas, mendapat 24 daripada 150 kerusi parlimen, bertambah daripada sembilan kerusi.
Wilders akan dibicarakan Oktober ini kerana ucapan bernada kebencian berpunca daripada filem keluarannya, Fitna, yang menyifatkan Al-Quran sebagai ‘buku fasis’ yang menganjur pengganasan.
Filem itu mencetus bantahan di seluruh dunia Islam dan beliau dilarang memasuki Britain beberapa bulan. Namun Wilders enggan mengubah pendirian dan berkata beliau kini mahu menyebar perutusannya di luar Belanda.
‘Perjuangan bagi kebebasan dan terhadap proses Islamisasi merupakan satu gejala sejagat. Ia masalah yang perlu dihuraikan,’ katanya.
Wilders enggan menamakan pengasas lain pertubuhan itu, yang beliau namakan Pakatan Kebebasan Antarabangsa Geert Wilders. — AP.