Angin Perubahan Mula Melanda Felda Selasih

613

“Tekanan dan suasana di Felda menyebabkan kami tidak dapat menzahirkan pendirian sebenar kami buat masa ini, tengoklah, dihari depan akan berlaku perubahan…” Ujar seorang lagi peneroka yang mendakwa dirinya adalah Ahli JKKK Felda Selasih.

Selama ini seolah-olah ada badi yang membelengu dan benteng yang memisahkan sehingga timbul anggapan umum bahawa Felda Selasih adalah kubu kuat Umno yang hampir mustahil boleh ditembusi. Lantaran itulah sebelum membuat keputusan nekad untuk mengunjungi para peneroka dari pintu ke pintu, terlebih dahulu beberapa pertemuan awalan telah dibuat di beberapa lokasi termasuklah bersama anak-anak muda generasi kedua felda.

Maklumbalas memberangsangkan yang diterima belum cukup untuk meyakinkan kami, sehinggalah angin perubahan yang didakwa sedang berlaku tersebut  dapat disaksikan sendiri.

Sekadar rekod, Felda Selasih, antara tanah rancangan paling bongsu di Negeri Terengganu menempatkan 158 kediaman peneroka yang mula didiami pada awal 1982 dengan hampir 1,000 orang pengundi. Kebanyakkan peneroka dipilih dari kalangan penyokong tegar Umno sekitar Daerah Besut.

Selama ini Umno kelihatan berjaya menjadikan pengundi tanah rancangan ini sebagai talian hayat mereka. Jelas ketara apabila Peti Undi Tok Dor yang menempatkan pengundi felda selalunya mencatatkan angka kekalahan besar dengan rekod terbaik PAS DUN Jabi hanya pada PRU 1999 apabila kita tewas dengan 50 undi.

Kerana itulah, bila rombongan kami disambut mesra, diterima sebagai tetamu, boleh bertanya khabar sepatah dua, mendengar suara hati mereka, ianya sudah cukup menceriakan dan memberikan keyakinan kepada kami bahawa peneroka kini bukan lagi seperti dahulu. Mereka tidak terkecuali untuk bersama arus perubahan yang sedang melanda dunia luar. Anggapan negatif bahawa Felda adalah lubuk Umno adalah sangkaan lapuk semata-mata. Kami dimomokkan dengan bayang-bayang palsu.

“Anak-anak kami yang bekerja di luar, kami boleh bagi jaminan sebahagian besar mereka sudah tidak lagi bersama Umno.” Begitulah yakinnya ungkapan seorang lagi peneroka yang mempunyai anak-anak yang merantau ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan ketika  menyambut mesra kedatangan kami seolah sudah begitu lama saling mengenali, walaupun sebenarnya inilah kali pertama saya bersua dengannya secara dekat.

Katanya, memang dia dah lama mengenali saya sebab selama ini memang selalu dia menjadi pendengar dalam gelap setiap kali PAS mengadakan ceramah di lokasi-lokasi berdekatan.

Program ziarah Mahabbah yang turut disertai oleh Tuan Haji Muhyiddin Abdul Rashid, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu adalah di antara pelan tindakan PAS DUN Jabi bagi memecahkan monopoli umno dibeberapa lokasi yang telah dikenalpasti. Turut serta adalah Jentera Pilihanraya Pemuda DUN yang mengedarkan risalah penerangan ke setiap rumah-rumah peneroka.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu ketika mengulas perkara berkaitan, sambil memberikan semangat kepada Jentera Pilihanraya DUN Jabi, “Kita perlu yakin bahawa dalam sebuah negara demokrasi seperti kita, kuasa sebenar adalah kuasa rakyat, bila rakyat mempunyai kesedaran dan inginkan perubahan, tiada yang dapat menghalangnya. Para peneroka berada dalam persekitaran yang berbeza dengan kita, kaedah mendekati mereka juga berbeza, teruskan usaha dan mohonlah pertolongan kepada Allah…”