Anak Muda Perlu Segarkan Semangat Patriotik Berteraskan Islam

1237

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia dan rakyat Terengganu khususnya yang akan menyambut Hari Kebangsaan Kali ke 59 pada 31 Ogos 2016.

DPPNT mengajak anak-anak muda seluruh Terengganu menghayati erti kemerdekaan ini berteraskan ajaran agama Islam yang membawa rahmat seluruh alam. Kita semua telah dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam dan kita pasti tidak terhina dengan perjuangan menegakkan Islam. Islam bukanlah satu agama yang mendiskriminasikan penganut agama lain, malah keadilan Islam ditegakkan untuk semua manusia yang berada di atas muka bumi ini.

bendera Malaysia PAS1Menyambut Hari Kebangsaan sewajarnya diterjemahkan dengan kemerdekaan jiwa sebenar yang bebas daripada perhambaan sesama manusia kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Justeru, anak-anak muda Terengganu wajar menghayati semangat kemerdekaan ini dengan menghayati keseluruhan ajaran agama Islam.

A
pa yang malang, sudahlah kita hilang semangat mengembalikan corak hidup berteraskan Islam, kita juga kini semakin pudar semangat patriotik yang tinggi di kalangan anak bangsa. Kita belum dimerdekakan sepenuhnya cara fikir, gaya hidup dan pengamalan budaya. Masa depan negara akan dibayangi dengan generasi anak muda yang berkualiti tinggi dan berwibawa untuk memacu sebuah negara yang berdaya saing dan berwawasan dengan panduan wahyu Ilahi.
DPPNT amat mengharapkan agar sejarah Malaysia dan sejarah negeri Terengganu dihayati oleh anak-anak muda untuk membentuk kekuatan masa depan. Perjuangan tokoh-tokoh silam yang dipelopori oleh alim ulama’ hendaklah dijadikan sebuah model perjuangan anak-anak muda. Anak muda perlu menggerakkan momentum pemartabatan jatidiri dan pemupukan nilai integriti dalam masyarakat.

Amat mengecewakan apabila negara yang telah mencecah 59 tahun, ia masih tidak diuruskan dengan berkualiti. Peningkatan rasuah seiring dengan peningkatan usia negara. Kebajikan rakyat bawahan terabai dengan mengutamakan kelompok masyarakat tertentu. Yang kaya berterusan mencipta kekayaan, manakala golongan miskin terus dihimpit dengan kesempitan. Negeri Terengganu tidak terkecuali menerima bebanan yang sama. Anak muda Terengganu sewajarnya menilai situasi yang melingkari negeri dan negara yang kian membeban ini.

Kembalilah kepada Islam, kita semua akan selamat, InsyaAllah.

YB Ustaz Hilmi Haji Harun
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT)