Tidak ada umat Islam yang tidak marah apabila Dr Kassim Ahmad menyentuh sensitiviti agama Islam apabila mendakwa umat Islam terlalu mendewakan Nabi Muhammad SAW dengan syahadah kedua serta rambut bukanlah aurat wanita. Beliau turut menyentuh bahawa golongan ulama’ telah diseleweng melalui amalan “kasta paderi” di mana mereka (golongan ulama’) melantik diri sendiri sebagai pentafsir agama kepada umat Islam.
Program anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana dan bertempat di Putrajaya dengan menampilkan Dr Kassim Ahmad, individu yang dilabel sebagai anti hadis dan menjulang personaliti tersebut ke kedudukan tertinggi. Entah apa jasanya sehingga pemikiran beliau diseminar kan dan diwacanakan dengan beliau sendiri dijemput memberikan ulasan. Agak menghairankan bagaimana program sebegini boleh mendapat kelulusan, mendapat tempat teristimewa di kawasan Putrajaya dalam keadaan program agama yang lain diburu dan dipantau ketat. Mengapa tiada tindakan sebelum program dijalankan bagi memastikan tiada pandangan yang pelik dan mengelirukan umat Islam dilontarkan ketengah masyarakat.


Beliau juga gagal memahami bahawa para ulama’ adalah pewaris Nabi SAW. Ketiadaan Nabi SAW menjadikan para ulama’ sebagai galang ganti yang memberi tunjuk ajar kepada masyarakat. Memusuhi ulama’ (yang benar) bererti juga memusuhi Islam dan memusuhi Rasulullah SAW. Apakah kerana beliau gagal menempatkan diri bersama para ulama’ maka para ulama’ pula perlu dibenci?
Selain itu, saya menganggap Dr Kassim terlalu dangkal soal hukum asas berkaitan agama Islam. Rambut menjadi topik perbincangan dengan kenyataan bahawa rambut bukanlah aurat wanita. Elok juga beliau menyatakan di manakah bahagian wanita yang dianggap sebagai aurat dan bukan aurat, dan saya kira ribuan ulama’ dan cendikiawan Islam bangkit untuk ‘sekolahkan’ beliau dengan ilmu asas Islam.
Saya amat bersetuju agar tindakan keras diambil terhadap penganjur manakala Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengeluarkan hukum yang jelas terhadap kenyataan Dr Kassim Ahmad. Masyarakat perlu dijernihkan pemikiran daripada kenyataan songsang sebegini manakala beliau sendiri perlu diberikan status supaya masyarakat tidak terkeliru dan terus berpegang dengan ajaran Islam sebenar sebagaimana difahami dan diajarkan oleh agama Islam.
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat




























