Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
Saya terpanar membaca satu mesej usai mesyuarat ijtimak Tarbawi Besut 2017, “Cikgu Fauzi telah kembali kerahmatullah setelah genap sebulan terlantar koma di hospital Kuantan”. Mesej ringkas itu mengingatkan saya betapa jarak antara kehidupan dan kematian itu adalah sangat singkat bagi setiap insan. Beliau yang berasal dari negeri Melaka , telah sebati dengan sosio budaya masyarakat Terengganu kerana pemukimannya yang dua dekad di negeri Tok Ku Paloh .
Sosok ini sangat dikenali dikalangan aktivis dakwah kampus tempatan diawal dekad 1990an, terutama masyarakat kampus UPM. Beliau menjadi Exco Persatuan Mahasiswa Islam UPM pada tahun 1993 sehingga tahun 1994, seterusnya menjadi Penolong Setiausaha Agong Majlis Perwakilan Pelajar UPM pada tahun 1994 sehingga 1995. Beliau sezaman dengan cikgu Raja Ismail Raja Shahdan, seorang pimpinan pelajar yang vokal.Pada tahun 1995, anak Melaka ini menjawat jawatan Pemangku Setiausaha Agong Majlis Perwakilan Pelajar UPM.


Beliau yang bergraduat daripada kampus pada tahun 1997, juga dikenali di medan amal Islami kerana turut aktif dalam bidang kerja bantuan misi kemanusiaan. Mantan pimpinan kampus ini juga adalah penggerak Yayasan Amal Cawangan Terengganu, banyak kali bermisi ke khemah pelarian Syria di sempadan Jordan dan juga di Turki.
Cikgu Fauzi dalam kesibukan dengan gerakerja parti Islam diperingkat kawasan Kuala Nerus dan juga NGO MAMPAT, tetap istiqomah setiap tahun ke bumi Afrika untuk misi dakwah dan juga melakukan ibadah korban. Beliau berusaha membantu umat Islam Rohingya dengan melakukan kempen membantu muslim Arakan dibawah bendera Yayasan Amal.


Perjalanan terakhir beliau dalam perjuangan ini ialah menjadi koordinator rombongan Kuala Nerus ke Himpunan RUU 355 di Padang Merbok. Beliau rebah dalam perjalanan diserang stroke, dikejarkan ke hospital Kuantan. Selama sebulan koma di hospital, bertali arus pimpinan, sahabat-sahabat seperjuangan terus menziarahi dan mendoakan beliau. Pada hari jumaat yang berkah, roh pejuang ini berkelana ke alam abadi. Rehatlah teman, kami juga akan menyusulmu kelak.




























