Aktiviti Songsang; Terengganu Gesa Pembaikan Undang-undang Dibuat Segera

202
Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi

Kerajaan Negeri Terengganu merasa bimbang dengan kegiatan songsang hubungan sejenis yang berpusat di spa di Kuala Lumpur selepas ia gagal ditangani menerusi tindakan undang-undang.

2. Gejala tidak bemoral yang makin membiak ini bukan sahaja mencemarkan imej negara, malah menggambarkan realiti wujudnya kelonggaran serta ketidakselarasan undang-undang yang memungkinkan aktiviti bercanggah dengan syariat ini beroperasi dengan begitu berani di tengah ibu negara.

3. Aktiviti hubungan sejenis, apabila dinormalisasikan seperti yang berlaku di premis tersebut, merupakan perbuatan yang jelas dimurkai Allah SWT dan menjadi antara punca keruntuhan moral masyarakat sebagaimana telah diingatkan melalui kisah kaum Nabi Luth dalam al-Quran.

4. Apa yang berlaku ini mendedahkan kelompongan ketara dalam perundangan negara, khususnya apabila undang-undang sivil dan syariah tidak bergerak seiring serta tidak menyediakan ruang tindakan preventif yang berkesan.

5. Premis yang beroperasi dengan lesen spa biasa mampu menyembunyikan kegiatan tidak bermoral di balik perniagaan yang kelihatan sah.
6. Penguatkuasaan pula sering terbatas kepada tindakan selepas berlaku aduan, manakala bidang kuasa Syariah di seluruh negara, termasuk di Terengganu, pula masih terikat dengan kekangan tertentu akibat had yang ditetapkan melalui undang-undang persekutuan.

7. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Terengganu ingin menegaskan bahawa negeri ini telah mengambil langkah tegas dan konsisten dalam mengekang gejala hubungan sejenis dan apa jua perbuatan yang bercanggah dengan syariat.

8. Langkah ini dilaksanakan bukan sahaja menerusi pentadbiran harian agensi penguatkuasaan, tetapi melalui penambahbaikan dasar dan undang-undang negeri yang lebih menyeluruh.

9. Antara tindakan paling signifikan ialah usaha kerajaan negeri meminda Enakmen Jenayah Syariah Terengganu bagi memperkukuh peruntukan berkaitan kesalahan seksual, perbuatan songsang dan salah laku terhadap fitrah.

10. Pindaan tersebut dirangka dengan teliti bagi memastikan peruntukan undang-undang bukan sahaja jelas dan mampu menutup ruang eksploitasi, tetapi juga dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan oleh pihak berautoriti.

11. Kerajaan Negeri Terengganu juga menegaskan bahawa langkah negeri ini memperkemas undang-undang Syariah bukan bertujuan menghukum semata-mata, tetapi sebagai usaha menyeluruh untuk mendidik masyarakat, menjaga maruah keluarga, melindungi anak muda dan menutup ruang kerosakan sebelum ia berlaku.

12. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri mendesak agar semua Ahli Parlimen serta Kerajaan Persekutuan segera meneliti kelemahan undang-undang berkaitan gejala ini, lesen premis dan kesalahan seksual supaya tindakan preventif dapat diambil lebih awal oleh semua agensi, bukan sekadar menunggu selepas berlaku pendedahan.

13. Malaysia memerlukan dasar yang lebih jelas, tegas dan selaras dengan keperluan sebuah negara Islam yang meletakkan kesejahteraan masyarakat sebagai keutamaan.

YB Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
TimbalanPesuruhjaya III PAS Terengganu
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah
3 Disember, 20205/ 12 Jamadilakhir 1447H