Aktivis Langkaui Sekatan Laut Rejim Israel

625

Ratusan aktivis hak asasi manusia, kelmarin berjaya memecahkan sekatan haram Israel dengan melangkaui zon 11 kilometer yang dihadkan untuk bot nelayan dari Gaza.

Memetik laporan AFP, kempen The Resistance Flotilla yang disertai kira-kira 20 bot nelayan itu turut berada di ‘kawasan larangan’ tersebut selama beberapa jam sebelum pulang ke pelabuhan.

Jurucakap kempen, Majed Abusalama memaklumkan mereka cuba memberi tekanan kepada rejim Zionis supaya menghentikan pencabulan hak ke atas nelayan di Gaza.

Menurut penganjur, kira-kira 300 aktivis tempatan dan Eropah menyertai kempen tersebut.

Sejak Jun 2007, kira-kira 1.7 juta penduduk Gaza terpaksa menanggung derita akibat sekatan haram yang dikenakan Israel hingga menyebabkan wilayah itu terus dilanda krisis kemanusiaan.