Aktivis Harungi Kepayahan Hidupkan PAS DUN Bukit Besi

2277

Oleh : Adli Mohamad.

DUNGUN- Pelbagai kepayahan dan keperitan diharungi oleh aktivis terdahulu demi menghidupkan Parti Islam SeMalaysia(PAS) di Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Besi yang terkenal kubu kuat Umno-Barisan Nasional.

Setiausaha Cawangan PAS DUN Bukit Besi, Abdul Malek Rani berkata, segala aktiviti PAS pada masa itu, melalui kesukaran yang manisnya kian terasa.

“Dahulu, DUN Bukit Besi ini dikenali sebagai DUN Jerangau.

“Segala aktiviti PAS pada masa itu disebarkan melalui ketukan pintu, dari rumah ke rumah.

“Dan menariknya pada ketika itu apabila ada program ceramah, penceramah membawa pembesar suara dan speaker sendiri, menggunakan bateri,” jelasnya.

Abdul Malik Ranj

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi di sini pada 12 Disember.

Menurut Malek, isu pada masa itu pun agak mencabar, PAS menerima pelbagai tohmahan dan cacian yang tidak sempat dijelaskan.

“Pada masa itu mana ada media sosial, sekitar 1982 PAS kuat di DUN Jerangau ini, bila imam dan bilal itu PAS maka seluruh kampung itu boleh dikatakan ahli PAS,” katanya.

Beliau seterusnya memberitahu lagi, pada masa itu setiap cawangan-cawangan di DUN tersebut , ada kepala-kepala (pengasas) PAS.

“1982 arwah Ustaz Harun Taib pernah berceramah di sini, di sebuah rumah ahli PAS.

“Pada masa itu Ustaz Harun, menjadi tarikan untuk semua orang di sini hadir.

” Pada masa tu saya masih di bangku persekolahan,” ujarnya mengimbau kembali kenangan sewaktu dahulu.

Katanya, PAS telah mempunyai asas yang kukuh di DUN tersebut  dan telah digerakkan dengan segala kepayahan dan jerit perit orang terdahulu.

“Semoga Pilihan Raya Umum(PRU) 15, Bukit Besi akan ditawan PAS, dengan keadaan semasa kita cukup yakin PAS berada di dalam keadaan selesa.

“Segala aktiviti perlu dipastikan terus berjalan dan terus dipergiatkan, kekalahan PRU 14 lalu dengan majoriti kecil sahaja dimenangi BN,” tegasnya.