Akar Umbi, Aktivis Dan Kepimpinan Bangkit Perkukuh Keputusan PAS Kuala Terengganu

1192

Sejurus selepas Program Liqa’ Fikri yang diadakan semalam, Isnin 3hb. Ogos 2015 bersamaan 18 Syawal 1436 di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu, satu perbincangan tergempar telah diadakan melibatkan kesemua akar umbi, aktivis dan kepimpinan PAS kawasan yang hadir berhubung tindakan lanjut terhadap YBM Raja Dato’ Kamarul Bahrin Shah, Ahli Parlimen PAS, Kuala Terengganu ekoran melanggar arahan dan ketetapan PAS Pusat dengan menjadi Pengerusi GHB.

Kehadiran adalah melibatkan kesemua pimpinan dari peringkat kawasan hingga cawangan cawangan merangkumi Ulama, Pemuda, Muslimat dan Ameerah yang menyaksikan kehadiran luar biasa melebihi 1000 orang sehingga melimpah ke luar Dewan Dato’ Wan Abd Mutallib.

Perbincangan yang berlangsung dalam suasana yg sangat bersemangat telah membuat keputusan menyokong penuh tindakan Pas Kawasan Kuala Terengganu yang telah mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan YBM Raja Dato’ Kamarul Bahrin Shah.

IMG-20150804-WA0005Akar umbi , aktivis dan kepimpinan PAS Kawasan Kuala Terengganu juga secara tegas menuntut supaya YBM Raja Dato’ Kamarul Bahrin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ahli Pas dan pengundi di dalam parlimen Kuala Terengganu dan mesti mengisytiharkan diri memutuskan sebarang perkaitan dan hubungan dengan GHB dalam tempoh 14 hari.

Jika sekiranya YBM Raja Dato’ Kamarul Bahrin masih gagal berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan maka akar umbi, aktivis dan kepimpinan PAS Kawasan Kuala Terengganu sebulat suara menuntut YBM Raja Dato’ Kamarul Bahrin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan serta merta.

Keputusan PAS Kawasan Kuala Terengganu memutuskan hubungan dengan Ahli Parlimen berkenaan hanya boleh dibatalkan jika YBM bertindak mematuhi ketetapan memohon maaf dan memutuskan segala penglibatan dalam GHB.

Akar umbi, aktivis dan kepimpinan PAS menyokong penuh tindakan PAS Kawasan dengan menyifatkan tindakan segera adalah perlu bagi mengelakkan masalah GHB dan ketidakpatuhan kepada arahan pimpinan merebak jika tidak dibendung dengan segera.

PAS Kawasan Kuala Terengganu berpendirian isu GHB dan ketidakpatuhan kepada pimpinan ini boleh merebak kerana tiadanya ketegasan ahli dan kepimpinan yang terlalu memberi ruang berlapang dada dengan tingkah laku subversif yang merosakkan PAS. PAS kawasan Kuala Terengganu sama sekali tidak bertolak ansur dalam prinsip menjunjung disiplin parti sebagai asas kekuatan perjuangan.

Akar umbi, aktivis dan kepimpinan PAS berpuashati dengan segala langkah berhemah oleh kepimpinan Pas Kawasan Kuala Terengganu melalui perbincangan dari hati ke hati yg telah diambil sejak tempoh beberapa bulan terlebih dahulu dalam mengelakkan keadaan ini berlaku sehinggalah keputusan tegas terpaksa diputuskan.

PAS Kawasan Kuala Terengganu akan menghantar laporan lengkap kepada PAS Pusat selaras dengan arahan yg telah dikeluarkan terlebih dahulu oleh Pejabat Setiausaha Agong PAS berhubung isu GHB bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil oleh PAS Pusat.

Liqa’ Fikri yang diadakan terlebih dahulu telah dihadiri Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang telah sudi memberikan penjelasan terhadap pelbagai isu serta menjawab soalan dari peserta-peserta dengan kehadhiran melebihi 1000 orang sehingga mereka terpaksa berdiri melimpah ke luar dewan.

WAN SUKAIRI BIN WAN ABDULLAH
YANG DIPERTUA PAS KAWASAN KUALA TERENGGANU
4hb Ogos 2015 bersamaan 19 Syawal 1436