Aiman Dapat Pilih Baju Sendiri

1453

Oleh : Aziz Jusoh

DUNGUN – Menjelang Syawal tahun ini, mungkin menjadi memori yang tidak dapat dilupakan bagi Aiman, 18 tahun di mana bapanya terlibat dengan suatu kemalangan baru-baru ini. Dia terpaksa menerima hakikat bahawa bapa tersayang telah pergi buat selamanya.

IMG-20160625-WA0060Bapanya, Tuan Jeffri Ibrahim, Pegawai JPAM Dungun antara yang maut dalam kemalangan membabitkan kereta Alza dan Myvi di Bukit Bauk beberapa hari lepas.

Riak sedih jelas terpancar pada wajah Aiman, seorang pelajar sekolah vokasional Kemaman, apabila ditanya mengenai arwah bapanya.

Bagaimanapun kesedihan itu terubat apabila dia terpilih sebagai salah seorang daripada 301 peserta bagi Program Shopping Raya anak-anak yatim DUN Paka bersamaa Ustaz Satiful Bahri Mamat, ADUN Paka di pasaraya SAKAN Paka, di sini.

Menurut Aiman, dia sangat gembira kerana dapat membeli baju baharu sempena aidilfitri tahun ini, namun sambutan yang diadakan tidak sama sepertimana ketika arwah bapanya masih hidup.

“Saya gembira kerana ada orang yang membelikan saya baju baru, tapi bila memikirkan ayah tiada bersama, hati saya jadi pilu,” katanya yang merupakan anak pertama daripada empat beradik yang tinggal di Jalan Melati Kampung Sura Tengah, Dungun.

Sementara itu Ustaz Satiful Bahri berkata, program kali ini adalah kali yang ke 3 yang dilaksanakan sejak beliau memenangi kerusi Dun Paka,

IMG-20160625-WA0062“Alhamdulillah, tahun ini sekali lagi kita dapat meraikan anak-anak yatim dengan membawa mereka membeli sendiri persiapan aidilfitri, di mana baju yang dipilih mengikut kehendak mereka.

“Diharap dengan adanya program sebegini, mampu mengurangkan bebanan keluarga membeli persiapan Hari raya untuk anak-anak dan diharapkan ia akan diteruskan pada masa akan datang”, katanya.

Beliau berkata pada tahun ini juga, program tersebut turut mendapat kerjasama NGO Darul AITAM iaitu persatuan yang bertindak mengutip dana, selain daripada sumbangan peribadi sendiri untuk menjaga kebajikan anak-anak yatim di DUN Paka.