Adakan Sidang Khas Dewan Rakyat Kecam Pengisytiharan Baitul Maqdis Ibu Negara Haram Yahudi

1957

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Malaysia mesti mengadakan satu sidang khas parlimen bagi mengecam tindakan perisytiharan Presiden Amerika untuk menjadikan Baitul Maqdis ibu negara haram Yahudi.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Malaysia, YB Dato Dr Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pengumuman Trump itu adalah satu jenayah terhadap Islam dan umatnya.

“Ia menjadi satu lagi bukti bahawa Amerika Syarikat merupakan rakan strategik Zionis Yahudi. Tiada apa yang boleh diharapkan dari kuasa dunia itu bagi membela bumi Palestin yang dijajah sejak 1948.

“Tindakan ini sewajarnya menjadi alat penyatu dan solidariti umat Islam seluruh dunia terhadap jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Zionis Yahudi dengan bantuan Amerika dan sekutu mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media terbarunya, Khamis, 7 Disember, semalam.

Menurutnya, inilah masanya untuk rakyat menilai kesungguhan para pemimpin negara umat Islam seluruh dunia dalam memperjuangkan isu Palestin khususnya Masjid Aqsa.

“Saya menyeru seluruh umat Islam untuk memenuhi seluruh media masa dan media maya yang ada dengan solidariti buat umat Islam yang sedang berjuang di Palestin.

“Khususnya kecaman terhadap jenayah terkini oleh Amerika dan Presidennya ini. Isu Palestin perlu terus hidup dalam dada umat Islam,” tegas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Justeru, penjajahan Palestin oleh Zionis Yahudi bukan hanya isu orang Palestin tetapi ia adalah isu umat Islam sejagat dan isu jenayah kemanusiaan yang perlu diberi perhatian oleh seluruh manusia.