Pertumpahan darah akan mengheret Malaysia ke arah sebuah lagi negara yang berkonflik dan cukuplah dunia menyaksikan sejumlah negara-negara yang berperang saudara. Negara ini masih mempunyai payung tertingginya dan rakyat masih menghormati perlembagaan serta Yang Di Pertuan Agong sebagai payung negara. Justeru, saya yakin pihak penganjur Himpunan ‘Black 505’ sedar perkara tersebut dan tahu keterbatasan undang-undang untuk mereka lakukan rampasan kuasa.
Namun apa yang mendukacitakan rakyat yang telah memilih jalan demokrasi ini adalah pihak yang menggunakan ruang demokrasi ini dengan mengambil tindakan tidak demokratik. Isunya adalah penyelewengan dan penipuan dalam sistem pilihanraya umum ke 13. Seeloknya YB Datuk Seri Dr Zahid meneliti dokumen yang didedahkan oleh Rafizi Ramli mengenai bagaimana penipuan yang dijalankan semasa PRU ke 13. Seribu satu penyelewengan telah dikenal pasti dan sedang dikumpulkan oleh pihak beliau dan akan dibawa ke mahkamah sedikit masa lagi.
Selain Rafizi, Datuk Seri Dr Zahid sebaiknya melihat sendiri bagaimana peranan media utama sebagai ejen propaganda paling ampuh kepada BN semasa kempen Pru ke 13. Beliau perlu menjawab persoalan mengapa kakitangan kerajaan dipaksa hadir berkempen bagi parti pemerintah serta ditakut-takutkan dengan pelbagai ugutan? Bagaimana pula jabatan kerajaan seperti JPN dan SPR memainkan peranan besar memberi kad pengenalan serta hak mengundi kepada mereka yang tidak sepatutnya manakala pegawai keselamatan termasuk polis dan tentera digunakan sebagai perisik culaan keputusan Pru ke 13? Apakah maknanya proses demokrasi sekiranya pihak berkuasa tidak menghormati ruang demokrasi yang ada malah mencabulinya tanpa rasa malu?
Rakyat tiada pilihan melainkan menunjukkan rasa di depan awam supaya segala penipuan dapat didedahkan dan diketahui umum. Masyarakat di negara ini perlu mengetahuinya supaya mereka sedar bahawa ruang demokrasi di negara ini telah terkunci mati. Masyarakat antarabangsa wajar diberikan maklumat supaya mereka tahu bahawa Malaysia masih jauh dari nilai demokrasi tulen yang sebenar sebagaimana yang mereka kecapi. Inilah maksud dan semangat perhimpunan yang dianjurkan dan setakat itulah kemampuan mereka sebagai rakyat yang cintakan negaranya.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia




























