Adab Berikhtilaf Dalam Gerakan Islam

1656
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita2/adab.jpg

Tetapi hati ini benar-benar tersentuh sekiranya da’i dan aktivis gerakan Islam tidak mempunyai kesedaran yang mendalam tentang fiqh ikhtilaf sehingga perhatian sentiasa ditujukan kepada titik-titik perselisihan dan bukannya kepada titik-titik persatuan.

Sebenarnya perbezaan pendapat itu sendiri tidaklah berbahaya, khususnya dalam persoalan furu’ (cabang) dan sebahagian usul (pokok) yang bukan asas. Tetapi yang bahaya adalah perpecahan dan pertelingkahan yang selalu diingatkan oleh Allah dan Rasulnya kepada kita.

Realiti Semasa

Di dalam sebuah gerakan Islam, perbezaan pandangan merupakan satu lumrah. Bahkan perbezaan pandangan bukan sahaja berlaku hari ini, ia telah berlaku semenjak Rasulullah SAW memimpin sahabat-sahabatnya. Perbezaan di dalam menentukan kedudukan tentera Islam di medan Badar, perbezaan sekitar isu tawanan Badar yang akhirnya diputuskan oleh wahyu sehinggalah kepada perbezaan sikap para sahabat di dalam menerima perjanjian Hudaibiyyah. Namun, tentulah ia dapat dikendalikan dengan sebaiknya memandangkan pemimpinnya ialah nabi yang mendapat petunjuk wahyu.

Bagaimana pula selepas wahyu terputus? Masih lagi berlaku perbezaan pandangan dan masih dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Lihatlah Abu Bakar ketika dibantah keputusannya untuk memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat. Orang yang membantah bukanlah individu sebarangan, ia tidak lain ialah Umar al-Khattab. Namun, perbezaan pandangan ini bukan alasan untuk berpecah. Umar patuh kepada keputusan orang yang telah diangkat olehnya sebagai pemimpin.

Mengikut selepasnya ialah zaman fitnah yang melanda para sahabat, perbezaan pandangan yang ditambah peranan golongan syiah menyebabkan berlakunya peperangan saudara yang memakan korban. Kebanyakan para sahabat mengambil sikap untuk tidak berpihak kerana meyakini itulah sebaik-baik pendirian ketika menghadapi fitnah ini. Ternyata, sikap kebanyakan sahabat ini menyelamatkan sebahagian besar umat Islam dari turut terjebak dengan perang saudara.

Demikianlah cabaran di dalam kepimpinan. Seorang pemimpin yang baik bukanlah yang berjaya mewujudkan rakyat yang ‘dengar dan patuh’ sahaja, tetapi seorang yang berjaya mewujukan rakyat yang ‘patuh dan berfikir’. Gerakan Islam tentunya tidak menyekat anggotanya berfikir, tetapi tidak pula menggalakkan mereka sentiasa memberontak melawan kepimpinan. Kepimpinan yang baik sekalipun tidak akan berhasil sekiranya mempunyai ahli yang tidak berkualiti. Demikian jugalah ahli yang berkualiti tidak bermakna sekiranya dipimpin oleh kepimpinan yang gagal. Apatah lagi kalau kedua-duanya ; kepimpinan dan ahli sama-sama gagal untuk berfungsi!

Pada saat-saat genting seperti inilah, kepatuhan kepada kepimpinan benar-benar teruji. Bahkan kepimpinan pun seringkali diuji dengan pelbagai isu yang menyaksikan perbezaan pandangan yang kadang-kadang kelihatan dengan ketara. Namun harapan saya, ia tidaklah menyebabkan berlakunya perpecahan di antara kita.

JENIS DAN SEBAB IKHTILAF

1.    Ikhtilaf Yang Timbul Kerana Faktor Pemikiran
Timbul kerana perbezaan pandangan mengenai sesuatu masalah baik masalah ilmiah atau masalah amaliah. Contoh dalam masalah ilmiah adalah perbezaan yang berkaitan furu’iyah (cabang-cabang syariat) yang tidak berhubung dengan prinsip-prinsip asas syariat.

Masalah amaliah pula adalah perbezaan mengenai sikap-sikap dalam politik dan pengambilan keputusan dari pelbagai masalah lantaran kerana perbezaan pandangan, kelengkapan data dan informasi, pengaruh-pengaruh lingkungan dan zaman. Contohnya seperti penyertaan gerakan Islam dalam pemerintahan yang tidak beriltizam dalam menerapkan syariat Islam.

Sebahagian ikhtilaf tersebut bersifat politik semata-mata, yakni berkaitan dengan pertimbangan antara kemaslahatan dan kemudharatan, antara pencapaian dan kerugian, pada masa sekarang dan pada masa akan datang.

Sebahagian yang lain bersifat fiqh, yakni kembali kepada perbezaan hukum syarak mengenai masalah tersebut, apakah ia boleh atau dilarang? Seperti masalah penyertaan dalam pemerintahan, bekerjasama dengan orang bukan Islam dan penyertaan wanita sebagai calon dalam pilihanraya.

Sementara sebahagian yang lain merupakan gabungan antara perbezaan yang bersifat fiqh dan politik. Contohnya perbezaan pendapat antara aktivis gerakan Islam mengenai kaedah islah dan perubahan yang dicita-citakan. Apakah ia perlu dimulakan dari atas atau dari bawah?

2.    Ikhtilaf yang Disebabkan Faktor Akhlak

Di antara sebab-sebabnya:

i.    Membanggakan diri dan mengkagumi pendapat sendiri
ii.    Buruk sangka dan menuduh orang lain tanpa bukti dan fakta
iii.    Ego dan mengikut hawa nafsu. Diantara akibatnya ialah mengejar kepimpinan dan kedudukan.
iv.    Taasub kepada pendapat seseorang atau golongan tertentu.

Ikhtilaf Adalah Fitrah Kejadian Manusia

Allah menciptakan manusia dengan beraneka ragam. Setiap orang mempunyai tabiat, keperibadian dan pemikitan tersendiri. Perbezaan ini akan ketara baik dari penampilan zahiriah ataupun batiniah. Sebagaimana seseorang berbeza bentuk wajahnya, suaranya dan cap jarinya, demikian juga pola pemikirannya, kecenderungannya dan pandangannya terhadap sesuatu isu, sikap dan pekerjaan. Walaupun antara dua saudara kandung, tabiat manusia tetap berbeza.

Contoh di kalangan para Nabi ialah antara Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s dan dari kalangan sahabat adalah antara Hasan dan Husain r.a. Begitu juga dengan dua orang tokoh sahabat, Abu Bakar dan Umar r.a. Abu Bakar sentiasa menampakkan kelembutan dan kasih sayang sementara Umar sentiasa mencerminkan kekuatan dan ketegasan. Hal ini mempengaruhi sikap masing-masing dalam menentukan sikap dan penyelesaian masalah seperti ketika mereka berdua diminta pendapat tentang tawanan peperangan Badar.

Usaha untuk menyatukan manusia dalam segala bidang ke dalam satu pola atau bentuk dan menghapuskan perbezaan antara mereka adalah sia-sia dan mustahil. Tindakan tersebut menyalahi fitrah yang ditetapkan Allah kepada manusia. Bahkan seandainya terjadi, tidak akan bermanfaat kerana setiap tindakan yang menyalahi fitrah tidak akan membawa apa-apa erti, bahkan akan menimbulkan bencana; cepat atau pun lambat.

Sedangkan tumbuh-tumbuhan yang disiram dengan air hujan yang sama tetapi tetap mengeluarkan buah yang beraneka bentuk , warna dan rasa. Kepelbagaian bentuk, warna dan rasa ini adalah rahmat bagi manusia. Begitulah juga perbezaan pendapat di kalangan ummat Muhammad s.a.w di dalam perkara yang tidak menyangkut persoalan asas aqidah dan prinsip pokok juga adalah rahmat bagi kita.

Ikhtilaf Yang tercela

i. Ikhtilaf yang bermotifkan bangkangan, dengki dan mengikut hawa nafsu.
ii. Ikhtilaf yang mengakibatkan perpecahan dan permusuhan ummat.

Tanggungjawab Ahli Gerakan Islam
Jagalah kemulian perjuangan dengan sentiasa menyatukan barisan para aktivis Islam. Minimunkan jarak antara kita dan hilangkan rasa kurang akrab antara sesama kita. Syaidina Ali k.w berkata: “Hendaklah kamu berpegang kepada sikap pertengahan. Dengan sikap ini orang yang tertinggal harus menyusul dan orang yang berlebihan harus kembali mundur.”

Elakkan dari menghabiskan waktu dan tenaga untuk membahaskan sesuatu yang sia-sia dan tidak menghasilkan apa-apa. Apatah lagi kalau kita tidak berada di posisi yang memberikan kita autoriti untuk membincangkan persoalan-persoalan dasar jamaah dan gerakan yang sebenarnya telah dibincangkan dengan penuh teliti, amanah dan berhemat oleh pimpinan tertinggi.


Tumpukan Persoalan Besar Ummah

Diantara perkara yang sering menyeret seseorang ke kancah perselisihan yang menjauhkan kita dari wehdah ialah kekosongan jiwa kita daripada cita-cita dan persoalan-persoalan besar. Apabila jiwa kosong, terjadilah pertarungan dalam masalah-masalah kecil. Kerana itulah Ibnu Umar menjawab dengan nada keras ketika ditanya oleh penduduk Iraq tentang hokum terkena darah nyamuk pada waktu ihram. Ibnu Umar berkata: “Mereka bertanya tentang darah nyamuk, padahal mereka telah menumpahkan darah cucu Rasulullah s.a.w.”

Sepatutnya, selain komitmen penuh yang perlu kita berikan kepada setiap sudut gerak kerja parti, persoalan-persoalan besar Negara dan masyarakat patut menjadi tumpuan kita. Soal pencabulan kedaulatan undang-undang, rasuah, penyelewengan, kezaliman, ekonomi, murtad, jenayah dan gejala sosial, ISA, pendidikan dan pelbagai lagi persoalan yang menuntut keprihatinan kita.

Kerjasama Dalam Tugasan Yang Disepakati

Perkara yang kita sepakati sebenarnya lebih banyak dari yang diperselisihkan. Kalau kita mampu bekerja dengan konsisten dan ketekunan untuk menjayakan perkara yang disepakati, nescaya kita tiada masa untuk berbalah tentang perkara yang diperselisihkan.

Tolerasi Dalam Masalah Yang Diperselisihkan
Syeikh Muhammad Rasyid Reza mencipta kaedah emas. “Bekerjasama dalam masalah yang kita sepakati dan saling bertoleransi dalam masalah yang diperselisihkan.”

Toleransi yang dicita-citakan ini diasaskan kepada beberapa prinsip:
i. Menghormati pendapat orang lain.
Imam Shafie berkata: “Pendapatku benar tetapi mengandungi kemungkinan salah sedangkan pendapat orang lain salah tetapi mengandungi kemungkinan benar.”

ii. Menerima Hakikat Kebenaran Mungkin Dalam Bentuk Yang Pelbagai terutama dalam aspek yang menyentuh pertimbangan politik. Medan Siyasah Syar’iyyah suatu lapangan ilmu yang tersangat luas sehingga mengakibatkan terjadinya perbezaan pendapat dan pandangan, antara yang berfahaman sempit dan yang berfahaman luas.

iii. Kepastian Adanya Perbezaan Dalam Hukum Realiti. Aktivis Islam perlu mempunyai kesedaran dan menerima kenyataan bahawa berbagai perselisihan yang kita selisihkan bukan perselisihan tentang hukum syarak. Tetapi hanya perselisihan tentang menilai suatu reality yang dimaksudkan oleh hukum syariat. Inilah yang dinamakan oleh para fuqaha sebagai tahqiqul manath.

Jauhi Bantahan Dan Permusuhan

Islam, Walaupun menggalakkan perbincangan, wacana, perdebatan dan muzakarah tetapi Islam memerintahkan perdebatan dilakukan dengan cara yang baik demi mencari kebenaran. Sikap berbantahan bertujuan untuk mengalahkan lawan dengan segala cara tanpa berpegang teguh kepada fakta, kaedah syarak dan timbangan yang bijaksana adalah sangat tercela. Dialog yang disertai kekasaran, tuduhan dan cacian merosakkan kasih saying dalam berjamaah dan mengeruhkan kejernihan jiwa. Pemilihan beberapa ungkapan dalam bahasa yang tepat kadang-kadang dapat memecah persoalan dan menghentikan pertikaian.

Seoran penyair berkata: “Sesungguhnya hati, apabila dilukai, seperti pecahnya kaca, tak dapat disatukan lagi.”

Bagaimana Nabi Ibrahim a.s berhujah dengan penuh fakta berhadapan dengan Namrud yang menggunakan apa saja cara demi keangkuhan dan kesombongannya.

Penutup

Islam mewajibkan setiap muslim agar bersikap adil terhadap orang yang dicintai ataupun terhadap orang yang tidak disukai. Islam mewajibkan seseorang muslim agar menjadi saksi yang adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Jangan sampai kemarahan membuatkan didinya terkeluar dari kebenaran Islam. Bahkan Islam memerintahkan agar setiap muslim memberikan kesaksian yang adil walaupun terhadap musuh.

Sentiasalah mencari alasan-alasan keuzuran bagi kesilapan saudara kita sesama makhluk Allah yang bersama-sama berjuang membela agama dan jangan terlalu cepat berprasangka buruk. Ulama’ Salaf ada berkata: “Aku mencari alasan bagi kesalahan saudaraku sehingga tujuh puluh alasan, kemudian aku katakan lagi, mungkin dia mempunyai alasan lain yang tidak aku ketahui.”