Presiden PAS Lancar Jabatan Keahlian PAS

1539

Oleh : Suhaimi Taib

KUALA NERUS – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melancarkan Jabatan Keahlian PAS di Muktamar Tahunan PAS Ke-64 bertujuan merancakkan pendaftaran ahli baharu parti seluruh negara.

Serentak itu Presiden PAS membuat gimik pelancaran sempena muktamar tersebut di Stadium Tertutup Gong Badak di sini disaksikan 5,000 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Sebelum ini pendaftaran ahli baharu PAS diuruskan di bawah pejabat Setiausaha Agung PAS di Pejabat Agung, Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan berkata, PAS telah memutuskan bahawa jabatan ini akan dipantau oleh seorang Naib Presiden di peringkat Pusat, Timbalan Pesuruhjaya PAS II di peringkat Perhubungan Negeri mana kala di peringkat kawasan dikendalikan oleh Naib Yang Dipertua.

Katanya, setiap pendaftaran baharu ahli PAS di setiap kawasan perlu dihantar dua minggu sekali ke pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri, kemudian pejabat perhubungan juga turut berbuat demikian dengan menghantar permohonan tersebut ke Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur.

“Dengan adanya jabatan tersebut dan dengan peraturan baharu ini, urusan pendaftaran keahlian PAS diuruskan secara lebih berfokus dan lebih cepat dari biasa, ” katanya ketika berucap menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden PAS di majlis yang sama.

Sebelum itu keahlian baharu PAS dihantar dua tahun sekali dari Pejabat Perhubungan PAS Negeri-Negeri ke pejabat agung.