MARANG – Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kuliah Tuan Guru yang disampaikan oleh Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila di sini hari ini menjadi sejarah penting dalam usaha membentuk generasi berilmu sejak setengah abad lalu.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengajian tafsir al-Quran dan hadis yang bermula pada tahun 1976 dengan kira-kira 30 orang itu kini menarik ribuan peserta daripada pelbagai latar belakang.
Beliau berkata, tempoh 50 tahun bukan masa yang singkat, namun pengajian ilmu di Terengganu itu terus bertahan dengan baik walaupun banyak perkara sudah berubah.

“Apa yang kita raikan hari ini bukan sekadar usia sebuah pengajian, tetapi ketekunan seorang murabbi, keberkatan ilmu dan kesinambungan usaha mendidik ummah merentasi generasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut berkongsi pengalamannya sendiri mengikuti kuliah Jumaat di masjid itu sekitar tahun 1985 semasa belajar di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA).
Katanya, beliau dan rakan-rakan keluar awal pagi untuk solat Subuh di Masjid Batu Enam sebelum menaiki bas ke Rusila, lalu pulang semula untuk solat Jumaat.

Menurut beliau, amalan semasa sekolah itu menjadikan Masjid Rusila tempat awal yang membentuk fahaman, pemikiran dan pengenalannya kepada perjuangan Islam sejak remaja.
Bagi memastikan pengajian ini terus berjalan, pengurusan masjid dan pihak berkaitan akan terus menjaga peranan Masjid Rusila sebagai tempat menuntut ilmu dan bimbingan agama untuk generasi akan datang.
Beliau berharap orang ramai terus menyambung usaha menuntut ilmu ini serta mendoakan supaya Tuan Guru sentiasa sihat dan diberkati usia.









