4000 Hadiri Majlis Aidilfitiri PAS Bukit Payong

1958

 

Oleh : MNA

MARANG – kira-kira 4000 orang hadirin dari pelbagai lapisan masyarakat mengunjungi Majlis Sambutan Aidil Fitri anjuran Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong yang diadakan di perkarangan Pasar Kedai Buloh semalam.

Walaupun sudah dimaklumkan majlis akan bermula pada jam 11 pagi, namun sudah ramai yang membanjiri tapak majlis seawal jam 10.30 sehingga memaksa pertugas menghidangkan makanan lebih awal untuk tidak mengecewakan mereka.

Tetamu juga tetap hadir melewati jam 2.00 petang walaupun majlis dijadualkan sehingga jam 1.00 petang sahaja, biarpun dengan hidangan ala kadar sahaja kerana banyak yang sudah habis, tetapi mereka tetap mahu bersama meraikannya.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor yang bertindak sebagai tuan rumah ketika ditemui jelas gembira dengan kehadiran orang ramai tanpa mengira ideologi politik dan umur itu.

Bagi beliau ini menunjukkan PAS bukanlah parti yang menjadi musuh kepada masyarakat kerana terbukti walaupun masih banyak ‘Rumah Terbuka’ yang berlangsung di beberapa kawasan berhampiran, rakyat tetap memilih untuk hadir ke Bukit Payong.

“saya ucapkan terima kasih kerana kehadiran pengunjung-pengunjung, dan rasa agak sedih kerana mungkin masih ramai lagi seperti rakan FB tidak dapat hadir sebab jauh.

“walaupun demikian saya ucapkan terima kasih semua atas sokongan semua samada sokongan moral ataupun sokongan ketibaan dan kehadiran ke majlis hari ini,” kata beliau.

Pengarah program Haji Ramli Ismail pula berkata, sebanyak 64 gantang keseluruhan hidangan nasi yang dipecahkan kepada nasi minyak, nasi dagang dan nasi tomato berserta 1500 biji ketupat serta 4000 bungkus tapai.

Turut disediakan ialah empat ekor kambing golek, 100 kilogram laksa, makanan tradisional lain seperti rojak betik, lemang dan rendang, nasi himpit dan juga kuih muih bagi memenuhi selera pengunjung.

Jelas beliau lagi, kesemua hidangan ini disediakan secara bergotong royong oleh ahli-ahli PAS yang bertungkus lumus berjaga malam menyiapkan semua menu bagi menyambut tetamu pada hari ini.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih diatas kehadiran semua pengunjung ke majlis kita pada hari ini, tidak lupa juga saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua UPU-UPU dan cawangan-cawangan yang menyediakan makanan.

Tanpa mereka majlis ini mungkin tidak akan berjaya dijalankan dengan semeriah ini,” ucap beliau.

Antara tetamu yang hadir ialah pimpinan PAS negeri dan kawasan seperti Setiausaha PAS Terengganu Haji Muhyiddin Rasyid, YB Hishamuddin Abdul Karim, wakil DHPP, Jefri Chua serta Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Yusof Abdul Hadi.

Manakala tetamu dari parti lain ialah Speaker DUN Terengganu Dato’ Zubir Embong dan juga Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris.