Sokong Ketetapan PAS Pusat Mengenai Kerjasama Politik PAS-BERSATU

70
Ustaz Hamdi Harun

KUALA TERENGGANU- Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap ketetapan yang diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Jun lalu berhubung hala tuju kerjasama politik antara PAS dan BERSATU.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Muhamad Hamdi Harun berkata, keputusan tersebut diterima sebagai ketetapan yang dibuat berdasarkan pertimbangan syarak, maslahah semasa dan penelitian mendalam oleh Majlis Syura Ulamak serta kepimpinan tertinggi parti.

Menurut beliau, PAS kekal berpegang kepada dasar Islam sebagai teras perjuangan dan tidak bergantung kepada mana-mana individu atau parti tertentu.

“Sebarang keputusan dibuat oleh parti adalah berasaskan prinsip dan kepentingan perjuangan yang lebih besar demi menjaga kepentingan Islam, umat serta negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menyambut baik usaha PAS untuk meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu bagi memperkukuhkan agenda penyatuan ummah serta mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan rakyat Malaysia.

Dalam masa yang sama, Pemuda PAS Terengganu melihat perkembangan tersebut sebagai peluang untuk memperkukuhkan gerak kerja parti di semua peringkat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Katanya, fokus utama kini adalah memperkasakan jentera parti, mendekati rakyat dan menjelaskan dasar serta tawaran PAS sebagai penyelesaian kepada pelbagai cabaran masyarakat.

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu juga mengalu-alukan penyertaan golongan akademik, profesional, pemimpin masyarakat dan anak muda yang berminat untuk bersama PAS dalam membawa agenda pembinaan negara berteraskan Islam, integriti, keadilan dan kesejahteraan.

Justeru itu, beliau menegaskan seluruh saf Pemuda PAS Terengganu akan terus berdiri teguh di belakang kepimpinan parti serta memperkukuhkan kesatuan dan disiplin organisasi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-16.