Jentera PAS Seberang Takir Diminta Terus Fokus Perkukuh Organisasi dan Khidmat Rakyat

57

KUALA TERENGGANU – Seluruh jentera dan ahli PAS di semua peringkat diminta menerima keputusan parti berhubung penamatan hubungan dengan Bersatu dengan penuh disiplin, kematangan dan semangat perjuangan yang tinggi.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir, Haji Hamidi Jusoh berkata, dalam menghadapi perkembangan politik semasa, semua pihak perlu mengekalkan ketenangan dan memelihara adab dalam setiap tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan.

Menurut beliau, ahli dan penyokong parti juga diingatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang polemik atau tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan imej PAS.

“Dalam situasi ini, ketenangan dan adab hendaklah sentiasa dipelihara.

“Semua pihak diminta mengelakkan sebarang polemik, kenyataan atau tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, tumpuan utama ketika ini perlu diberikan kepada usaha memperkukuhkan organisasi parti, menyatukan saf perjuangan dan meneruskan agenda menyantuni masyarakat.

Hamidi turut menegaskan bahawa urusan pejabat, gerak kerja organisasi dan khidmat kepada rakyat hendaklah diteruskan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Katanya, seluruh jentera parti perlu sentiasa berpandukan arahan dan keputusan rasmi pimpinan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran tugas serta kesinambungan perjuangan dan khidmat kepada rakyat.

“Bersatu dalam perjuangan, berdisiplin dalam tindakan, istiqamah dalam khidmat,” ujar beliau.