KUALA TERENGGANU – Akar umbi PAS di Kijal menyokong penuh keputusan PAS Pusat yang dibuat demi maslahah ummah, termasuk berkaitan hala tuju kerjasama politik parti itu.
Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kijal, Ustaz Haji Hazri Jusoh berkata, PAS sejak dahulu sentiasa berpegang kepada prinsip taat dan setia terhadap setiap perjanjian yang dimeterai dalam gabungan politik demi menjaga kepentingan agama, rakyat serta negara.
Menurut beliau, sepanjang kerjasama terjalin, PAS turut menunjukkan kesabaran dan kematangan politik dalam berdepan pelbagai tindakan rakan gabungan yang ada kalanya tidak selari dengan semangat serta rukun persepakatan dipersetujui bersama.
“Setelah beberapa kali maka keputusan diambil oleh Presiden dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan restu Majlis Syura Ulama adalah yang terbaik untuk parti dan perjuangan,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengarah Keselamatan PAS negeri berkata demikian ketika dihubungi hari ini.
Hazri berkata, keputusan tersebut telah dibuat melalui proses syura dan penelitian yang menyeluruh oleh kepimpinan tertinggi parti, sekali gus wajar dihormati oleh seluruh ahli serta penyokong PAS.
“Sebagai anggota akar umbi, kami menyatakan sokongan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan PAS serta akan terus mendukung segala keputusan yang diputuskan demi memastikan perjuangan Islam dan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Justeru itu, beliau turut menyeru seluruh ahli PAS agar terus memperkukuhkan saf perjuangan dan mengutamakan kepentingan jamaah dalam menghadapi cabaran politik semasa.





























