300 Keluarga Pelarian Marawi Terima Sumbangan

965

Oleh KAM

MARAWI CITY (Mindanao) – Seramai 300 buah keluarga mangsa pelarian perang Marawi masing-masing menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas beras dan sardin serta makanan ringan biskut serta gula-gula untuk kanak-kanak.

Agihan barangan itu dibuat di sebuah kawasan berhampiran penempatan penduduk di Kampung Kadayunan II, Marawi City, pada Khamis 7 Disember.

Ketua Delegasi Yayasan Amal Malaysia, Cikgu Nawawi Sulong berkata sumbangan yang diagihkan kepada pelarian Marawi sekadar untuk 300 buah keluarga sahaja.

Sedangkan, katanya masih ramai pelarian terbabit yang memerlukan bantuan tetapi tidak mencukupi keperluan itu.
Menurut beliau, di sekitar perkampungan Kadayunan II ini sahaja terdapat lebih dari 1,000 orang pelarian yang berada di sekitarnya.

“Hari ini, kami (Amal Malaysia) hanya dapat mengagihkan beras dan sardin sahaja kepada pelarian Marawi. Kami dari Amal Malaysia hanya mampu untuk menyediakan sekitar 300 paket barangan untuk keperluan 300 keluarga sahaja.

“Inilah sahaja kemampuan pihak kami (Amal Malaysia) kali ini sedangkan di luar (pinggir Marawi) sana masih ramai lari yang memerlukannya,” ujar beliau di pusat agihan sumbangan Kampung Kadayunan II, Marawi City, di sini.

Selain itu, katanya pemeriksaan kesihatan percuma turut disediakan dengan kerjasama Amal Malaysia dan Bangsamoro Development Agency (BDA) yang diketuai oleh Dr Safrullah D.Patuan.

“Kami (Amal Malaysia) dengan kerjasama sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) BDA juga mengadakan rawatan kesihatan percuma kepada mangsa-mangsa pelarian terbabit.

“Dua orang doktor memberi khidmat termasuk seorang doktor dari delegasi Amal Malaysia sendiri,” jelasnya.

Justeru, Cikgu Nawawi merayu kepada semua pihak terutama rakyat Malaysia dan para dermawan agar dapat membantu mangsa pelarian Marawi.

“Kami harap selepas ini akan ada lagi sumbangan dari rakyat Malaysia untuk membantu saudara-saudara kita di sini (Marawi), Insya’Allah.

“Ini (sumbangan) merupakan sebahagian dari sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin dan sempat kami bawa pada misi keempat kali ini,” ujarnya.

Pada misi bantuan itu, makanan ringan biskut dan gula-gula untuk kanak-kanak turut diagihkan di beberapa buah kem pelarian sementara yang berada di perjalanan Iligan City ke Marawi.