Sekitar 15,000 polis dan askar akan dikerahkan di sekitar ibu kota Thailand minggu depan sebagai persiapan bagi rancangan para penunjuk perasaan “menutup” Bangkok dalam satu percubaan mengguling kerajaan, menurut para pegawai semalam.
Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, telah mengumumkan satu pilihan raya bulan depan menyusuli bantahan pembangkang di jalanan sejak beberapa minggu lalu.
Namun para penunjuk perasaan telah berikrar menghalang pilihan raya itu yang mereka bimbang hanya akan memanjangkan kuasa politik keluarga jutawannya.
Para penunjuk perasaan berkata mereka akan menduduki Bangkok dari 13 Januari sehingga mereka dapat menjatuhkan kerajaan.
Mereka merancang mendirikan pentas di sekitar bandar, menghalang pegawai ke tempat kerja dan memotong bekalan tenaga dan air ke bangunan kerajaan.
Jurucakap polis nasional, Piya Uthayo, dalam satu taklimat di televisyen berkata kerajaan akan mengerahkan 14,880 polis dan askar bagi rapat umum tersebut.
“Matlamat kami ialah mencegah sebarang keganasan atau pertempuran,” katanya.
Sementara itu, setiausaha tetap Kementerian Ehwal Luar, Sihasak Phuangketkaew, berkata beberapa kedutaan asing, terutama yang berada dekat dengan tapak rapat yang dirancang seperti Perancis, telah menyuarakan keprihatinan.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan Thailand akan menyelesaikan masalah itu dengan aman.
Saham Thailand dan mata wang baht menjunam ekoran keprihatinan bahawa krisis yang semakin mendalam itu akan menakutkan pelancong asing dan pelaburan antarabangsa.
Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) telah membatalkan 19 penerbangan ke Bangkok antara 14 Januari hingga 25 Februari.
Penguasa kota Bangkok mengarahkan 146 sekolah ditutup pada Isnin depan.
Menurut pegawai kerajaan, pihaknya bersedia mengisytiharkan keadaan darurat jika perlu untuk menangani sebarang kekacauan, menyusuli beberapa pertempuran keganasan jalanan di mana lapan orang, termasuk seorang pegawai polis, terbunuh, manakala ratusan lagi cedera.
Pengkritik berkata para penunjuk perasaan mahu membangkitkan pertempuran baru dengan harapan ia akan mencetuskan rampasan kuasa oleh pihak tentera dengan alasan mengembalikan ketenangan – satu tuduhan yang ditepis para penunjuk perasaan.
Ketua tentera Thailand, Prayuth Chan-Ocha, semalam menasihatkan orang awam agar tidak mempercayai desas-desus tentang rampasan kuasa itu.
Katanya, pergerakan peralatan ketenteraan ke dalam Bangkok ialah bagi tujuan satu perarakan tahunan, dan bukan menggulingkan Yingluck.
Thailand telah beberapa kali digoyah pertumpahan darah politik sejak abang Yingluck, Thaksin Shinawatra, dijatuhkan jeneral diraja dalam satu rampasan kuasa tujuh tahun lalu.
Para penunjuk perasaan yang rata-rata terdiri daripada masyarakat selatan Thai, penyokong diraja, golongan pertengahan dan elit bandar menuduh Thaksin terlibat dalam rasuah dan beliau menguasai kerajaan adiknya dari luar.
Mereka mahukan satu “majlis rakyat” untuk menguruskan negara sebelum pilihan raya baru diadakan dalam masa 12 hingga 18 bulan.
Kerajaan Yingluck masih menerima sokongan kuat dari utara dan timur laut Thailand dan dijangka menang dalam pilihan raya pada 2 Februari ini, jika ia diteruskan.
Mantan Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban, sepatutnya hadir di mahkamah semalam bagi menghadapi tuduhan membunuh atas kematian menyusuli pertempuran jalanan pada 2010, tetapi beliau meminta ia ditangguhkan selama sebulan lagi kerana sedang memimpin bantahan terbaru ini.
Sekiranya beliau gagal tampil, pejabat peguam negara berkata pihak pendakwa akan mendapatkan waran tangkapan ke atasnya, tambahan kepada waran sekarang, kerana pemberontakan cuba menumpaskan kerajaan. – AFP.










