Selaras dengan kenyataan Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat baru-baru ini, Lajnah Alam Sekitar PAS Selangor juga mengambil pendekatan tidak bersetuju dengan pembinaan insinerator di Selangor.
Lajnah Alam Sekitar PAS Selangor tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk membangunkan pusat insinerator di Selangor untuk melupuskan sisa pepejal kerana projek dan pengurusan incinerator yang sedia ada tidak dilaksanakan dan diuruskan dengan baik.
Pelbagai isu yang dibangkitkan Ketua Auditor Negara melalui Laporan Audit Negara 2012 jelas membuktikan bahawa pusat insinerator yang dibina tidak memuaskan malah tidak memenuhi keperluan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan malah Akta Kilang dan Jentera sekalipun. Ini jelas membelakangkan kemaslahatan umum.
Namun, Lajnah Alam Sekitar PAS Selangor sedar bahawa proses urbanisasi dan pertumbuhan ekonomi yang pesat di Selangor telah menyebabkan peningkatan yang besar di dalam jumlah sisa pepejal. Oleh itu, Pihak Berkuasa Tempatan menghadapi cabaran yang hebat di dalam pelupusan sisa pepejal ini.


Antara polisi di dalam Program Pengurusan Sisa Pepejal yang boleh dilaksanakan adalah:
1. Mengubah minda untuk melihat “Waste as a resource, Not a cost” – mengkaji dan memperkenalkan polisi yang mengurangkan sisa pepejal
2. Menginstitusikan 3R – Reuse, Reduce dan Recycle. Antaranya: Menyediakan lebih banyak pusat kitar semula serta penglibatan masyarakat dalam program yang berkaitan. Secara tidak langsung menyumbang kepada peluang pekerjaan dan membasmi kemiskinan.
3. Memperuntukkan dana dan bajet bagi program kesedaran awam di Majlis Perbandaran
4. Memperuntukkan slot kesedaran alam sekitar di sekolah-sekolah seawall peringkat rendah
5. Melaksanakan polisi “Mandated Product Take Back Scheme” dimana syarikat yang menghasilkan sesuatu produk harus mengambilnya kembali di akhir hayat produk tersebut. Sebagai contoh: Sebuah kilang membina penghawa dingin harus mengambil kembali penghawa dingin yang telah mencapai jangka hayat dan melupuskannya diatas kos sendiri. Konsep ini mengembalikan tanggungjawab mengurus sisa kepada pengeluar produk. Jepun melaksanakannya melalui “Home Appliance Recycling Act”.
6. “Advanced Disposal and Recycling Fees” dikenakan diatas syarikat-syarikat yang menghasilkan sisa pepejal dan dibayar kepada Pihak Berkuasa Tempatan bagi pemprosesan dan pelupusan. Konsep ini dilaksanakan di Australia.
7. Melaksanakan polisi “Pay As You Throw” dimana Majlis Perbandaran mengenakan bayaran kepada isi rumah berdasarkan unit sisa pepejal yang dihasilkan. Sebagai contoh, setiap rumah perlu membayar RM0.20/kg sisa pepejal yang perlu diproses. Konsep ini berjaya di Korea Selatan (penjimatan sebanyak 8 trillion won) dan Jepun (pengurangan sisa pepejal sebanyak 20-30%)
8. Membina sebuah “Integrated Resource Recovery Center” yang dapat menghasilkan kompos, biogas, bahan-bahan yang boleh dikitar semula, pemprosesan semula minyak masak.
9. Memperkenalkan “Green Entrepreneur” di mana usahawan – usahawan pemprosesan sisa rumah dapat diwujudkan
10.Melaksanakan pelepasan cukai atau insentif lain kepada pemain industri yang berjaya mengurangkan sisa yang dihasilkan serta berjaya menghasilkan produk yang lebih tahan lama, mudah dikitar semula dan tidak mengandungi bahan kimia bertoksik.
Untuk melaksanakan perkara-perkara diatas memerlukan keberanian dan kesungguhan yang jitu, bukan untuk kepentingan politik, tetapi atas dasar keprihatinan bagi generasi akan datang. Kami berharap “political expediency” dapat diketepikan dan polisi yang menjamin masa depan dapat diperkenalkan oleh Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.
Sekali lagi kami tekankan agar sebuah Program Pengurusan Sisa Pepejal yang mampan, terancang dan menyeluruh dilaksanakan sebelum cadangan pembinaan sebuah incinerator dipertimbangkan. Tanpa program ini, pembinaan incinerator mungkin dapat menyelesaikan masalah pelupusan sampah, namun penggunaan sumber alam akan terus tidak terkawal. Yang akan merana, generasi akan datang.
“HIJAUKAN BUMI MALAYSIA”
MOHD PRASAD BIN HANIF
PENGERUSI LAJNAH ALAM SEKITAR SELANGOR
PENGERUSI GREEN CLEAN WORLD SELANGOR
24HB FEBRUARI 2014

























