1 MDB Kanser yang Membawa Malapetaka kepada Negara

870

1MDB masih lagi gagal menyelesaikan bayaran pinjaman kepada Maybank dan RHB Bank sedangkan tarikh akhir pembayaran sudah disambung sebanyak tiga kali. Apabila pihak Bank bersepakat untuk mengambil tindakan – Event Of Default (EOD) maka 1 MDB akan merangkul gelaran Status Pembayar Engkar. Apabila ini berlaku kelak akan membuktikan dakwaan pihak pembangkang selama ini bahawa 1 MDB membawa malapetaka kepada negara.

2. Lebih malang lagi apabila kanser kewangan 1MDB ini boleh meletakkan risiko ke atas sistem perbankan negara. Pihak Fitch Ratings sendiri mengatakan bahawa status kewangan 1MDB menimbulkan “ketidakpastian” kerana kerajaan menjamin sebahagian daripada pinjaman itu. Usah dilupa juga, pinjaman RM2 Bilion itu hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan liabilitinya berjumlah RM41.9 bilion setakat 31 Mac 2014.

3. Saya berpandangan tindakan EOD yang ingin diambil oleh Bank-Bank tersebut terhadap 1MDB adalah tindakan dalam usaha menyekat kanser 1MDB daripada menular kepada keseluruhan keutuhan sistem perbankan negara. Syabas saya ucapkan kpd bank terbabit kerana berani mengambil tindakan drastik ini terhadap ‘pet project’ PM. Tindakan EOD ini dengan jelas merupakan ‘vote of no confidence’ terhadap Menteri Kewangan dan juga Perdana Menteri. Apabila Bank di Malaysia sudah tidak mempunyai kepercayaan kpd PM, rasanya eloklah beliau berundur.

4. 1 MDB ini bak kata Tun Mahathir adalah ‘syarikat miskin’ yang tidak patut wujud langsung. Ia bertindak seolah syarikat besar yang kaya-raya sedangkan hakikatnya wang itu daripada pinjaman bank yang masih terkial-kial untuk membayarnya. Sesungguhnya 1 MDB ini lambang kegagalan PM Najib kerana ia bukan membawa keuntungan kepada negara tetapi malapetaka akibat hutang yang begitu besar.

Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS