Tolak RUU URA, Bela Hak Perumahan Rakyat

329

KUALA TERENGGANU – Muslimat PAS Setiu menyertai serahan memorandum bantahan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) di Parlimen semalam sebagai tanda penolakan dan usaha membela hak perumahan rakyat.

Ketuanya, Puan Wan Ramlah binti Wan Abd Rahman berkata, RUU berkenaan memberi kuasa terlalu besar kepada pihak tertentu dan membuka ruang kepada amalan kronisme yang akhirnya menjejaskan hak rakyat, khususnya masyarakat Melayu bandar.

“RUU ini wajib diteliti semula secara menyeluruh agar tidak menjadi alat penindasan terselindung terhadap golongan yang telah sedia terbeban dengan kos sara hidup dan isu perumahan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam media sosialnya semalam.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian 68 Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang menolak RUU URA kerana ia berpotensi mengancam pemilikan tanah dan tempat tinggal rakyat yang sudah lama menetap di bandar.

“RUU ini mendapat perhatian kerana ia membabitkan isu penting melibatkan hak pemilikan rumah, kesejahteraan keluarga serta keadilan sosial dalam pembangunan bandar yang seharusnya membela rakyat, bukan menambah beban mereka,” jelasnya lagi.