Dimana Terengganu Dalam Perancangan Negara

585

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini adalah pelan pembangunan negara yang akan menentukan halatuju ekonomi dan kesejahteraan rakyat untuk lima tahun akan datang.

2. Setiap negeri sewajarnya mendapat ruang yang adil dan setimpal dalam perancangan ini agar pembangunan negara benar-benar bersifat menyeluruh dan tidak meminggirkan mana-mana wilayah.

3. Namun, persoalannya, di manakah kedudukan Terengganu?. Sebagaimana dibangkitkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, kandungan RMK-13 jelas menunjukkan negeri ini hanya dilibatkan dalam enam daripada 122 strategi keseluruhan. Angka ini menimbulkan tanda tanya tentang sejauh mana kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Pantai Timur secara serius.

4. Lebih membimbangkan, sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu ditetapkan hanya 4.8 peratus, jauh lebih rendah daripada sasaran dalam RMK-12 dan lebih rendah lagi daripada unjuran Kerajaan Negeri sendiri iaitu 6.6 peratus menjelang tahun 2030.

5. Sektor pertanian pula walaupun Terengganu diiktiraf sebagai hab ekonomi biru dan pengeluaran makanan negara, hanya disasarkan tumbuh 1.1 peratus, sedangkan ia sudah tumbuh 7.4 peratus pada 2023. Ini langsung tidak mencerminkan kekuatan sebenar negeri yang telah membuktikan kemampuan tinggi dalam perikanan, akuakultur, tanaman dan penternakan.

6. Negeri ini memerlukan projek dan peruntukan berimpak tinggi yang mampu melonjakkan ekonomi serta memberi kesan positif kepada seluruh Pantai Timur.

7. Projek-projek utama seperti Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dan pelaksanaan Economic Accelerator Project (EAP) di sepanjang jajaran ECRL di Terengganu mesti dimulakan segera kerana ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

8. Hasil petroleum yang menjadi hak Terengganu juga perlu dipulangkan sepenuhnya, dibayar tepat pada masanya, dan disalurkan tanpa birokrasi yang melambatkan manfaatnya kepada rakyat seperti yang berlaku sekarang.

9. Sistem kerjasama antara negeri dan Persekutuan pula perlu direformasi dengan mengamalkan konsep federalisme koperatif serta pembahagian hasil negara yang lebih adil, sepertimana diamalkan di negara-negara maju, agar pembangunan negeri tidak diikat oleh sentimen politik apabila pemerintah negeri dan Persekutuan berbeza ideologi politik.

10. Terengganu tidak meminta keistimewaan, sebaliknya menuntut hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

11. Negeri ini telah menyumbang secara signifikan kepada ekonomi Malaysia melalui sektor minyak dan gas, perikanan, pelancongan, dan tenaga boleh diperbaharui. Sudah tiba masanya hak tersebut dikembalikan demi kemajuan rakyat.

Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Penerangan PAS Terengganu