AP Jerman Terima Usul Lindung Hak Berkhatan

648

Resolusi itu menggesa Berlin melakar undang-undang pada musim luruh ini bagi “memastikan bahawa berkhatan di kalangan kanak-kanak lelaki yang dijalankan mengikut piawaian perubatan yang profesional dan tanpa membawa kesakitan pada asasnya dibenarkan”.

Langkah itu, walaupun dilihat sekadar sesuatu yang simbolik setakat ini, telah diluluskan dengan sokongan timbalan-timbalan daripada semua pihak dalam dewan rendah Jerman itu kecuali parti berhaluan jauh ke kiri, Linke.

Dalam satu keputusan yang dibuat pada Jun lalu, sebuah mahkamah di Cologne, bandar yang terletak di bahagian barat Jerman, berkata berkhatan adalah sama seperti menyebabkan kecederaan yang teruk pada anggota badan, satu keputusan yang Canselor Angela Merkel dilaporkan sebagai berkata membawa risiko menjadikan Jerman sebagai “bahan tertawa”.

Para diplomat mengakui bahawa keputusan tersebut terbukti “membawa kecelakaan” kepada imej antarabangsa Jerman, khususnya dari sudut sejarah Nazinya pada masa lalu, berikutan bantahan daripada para pemimpin agama dan politik di Israel serta Dunia Islam.

Menteri Luar Jerman, Encik Guido Westerwelle, menjelang satu perdebatan mengenai isu berkhatan dalam sesi dewan rendah negara itu, berkata beliau gembira bahawa parlimen mengambil “tindakan cepat dan muktamad”.

“Resolusi itu menunjukkan bahawa kita hidup dalam satu negara bertoleransi dan kosmopolitan. Tidak seorang pun dalam dunia ini akan memahaminya jika Jerman melarang warga Yahudinya daripada menjalankan upacara berkhatan ke atas kanak-kanak lelaki mereka,” tambahnya.

Melindungi upacara keagamaan dan tradisi adalah sebahagian daripada usaha memastikan toleransi agama, kata Encik Westerwelle.

Kementerian Keadilan Jerman, bagaimanapun, meluahkan keraguannya sama ada rancangan melakar undang-undang itu boleh disiapkan menjelang musim luruh, memandangkan kerumitan perundang berhubung mengimbangkan kebebasan agama dengan hak kanak-kanak.

Sedang pihak parlimen kelihatan bersatu dalam isu tersebut, satu tinjauan menunjukkan penduduk di negara itu rata-rata mempunyai pandangan berbelah bahagi.

Satu tinjauan YouGov bagi agensi berita tempatan berkata 45 peratus daripada mereka yang ditanya menyokong larangan upacara berkhatan, dengan 42 peratus menentang larangan itu. – AFP.