Selepas FGV berjaya dinyah senarai dari Bursa Malaysia dan segala urusan perundangan diselesaikan, Koperasi Permodalan Felda (KPF) mestilah ada satu sandaran atau jaminan bertulis dari Kerajaan dan FELDA agar KPF dapat memiliki semula kepentingan dalam FGV atau struktur FELDA seperti sebelum penyenaraian FGV 2012 melalui satu urusan memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa AGM untuk satu keputusan segera.
Sebelum ini, KPF mempunyai kepentingan atau pemilikan saham berjumlah 112,199,999 unit dalam Felda Holdings Berhad atau 51% pegangan. Namun untuk membolehkan FGV disenaraikan KPF dipaksa melepaskan pegangan ini dengan nilaian RM2.2bilion atau bersamaan RM19.61sesaham.
Selepas 13 tahun penyenaraian FGV kesan ketara kepada pendapatan dan keuntungan KPF merosot dan sekarang berada dalam krisis aliran tunai. Banyak aset-aset terpaksa dilepaskan untuk hadapi cabaran masa kini walaupun KPF mempunyai lebih RM4 bilion aset.
FELDA juga terkesan teruk dan menerima nasib yang sama apabila paling ketara 2017 telah mencatatkan kerugian yang terburuk di mana merekodkan kerugian mencecah RM4.6 bilion. Juga menurut sumber-sumber terbuka FELDA menanggung hutang mencecah RM13bilion selepas 13 tahun penyenaraian FGV.
Dengan adanya jaminan nanti, KPF boleh menguruskan proses ini walaupun terpaksa menjual aset-aset yang dimiliki seperti ladang di Samarahan dan Gua Musang yang melebihi keluasan 40,000 ekar.
Dengan penguasaan semula KPF dalam kepentingan bersama FELDA, adalah diyakini kemelut aliran tunai KPF dan FELDA akan berakhir kerana hasil ladang seluas hampir 400,000hektar yang dipajakan kepada FGV sebelum ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Sekian.
Naraza Muda
Aktivis Anak Peneroka FELDA Jerangau Terengganu.
02 Ogos 2025.




























