Program Borang Hijau Perlu Dilaksana Semula

614
Ustaz Abdul Hadi bin Muhammad

BESUT – PAS Kawasan Setiu menggesa agar PAS Negeri Terengganu mengaktifkan semula program “Borang Hijau Keluargaku Ahli PAS” sebagai langkah memastikan penglibatan menyeluruh seluruh keluarga dalam parti dan menjamin kesinambungan perjuangan Islam.

Cadangan daripada Ketua Penerangan PAS Setiu, Ustaz Abdul Hadi Muhammad berkata, ia perlu dibuat susulan kebimbangan terhadap kelemahan kesinambungan perjuangan PAS dalam kalangan generasi muda, apabila ramai anak-anak ahli dan pimpinan tidak didaftarkan sebagai ahli parti, malah ada ibu bapa yang tidak mengetahui sama ada anak mereka menyokong atau mengundi PAS.

“PAS kawasan Setiu mencadangkan agar PAS Negeri Terengganu melaksanakan semula program borang hijau keluargaku ahli PAS, supaya setiap ahli PAS bertanggung jawab memastikan setiap ahli keluarga menjadi ahli PAS.

“ Apa yang kita lihat hari ini, kebanyakan program parti hanya diimarahkan oleh ibu dan bapa sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan dalam program Ijtimak kepimpinan PAS negeri Terengganu di Kota Putera Square, Kampung Raja, pada hari ini.

Menurutnya, perjuangan Islam bermula di rumah dan keluarga adalah unit asas kekuatan jemaah.

“Jika anak-anak tidak dididik dengan kefahaman dan kesetiaan kepada perjuangan PAS sejak kecil, kita akan kehilangan pewaris yang mampu mempertahankan fikrah parti di masa hadapan,” ujarnya.

Menurut perbahasan yang dibentangkan, keluarga merupakan unit asas kepada pembinaan masyarakat Islam dan benteng pertama mempertahankan nilai Islam, fikrah perjuangan, serta kesetiaan kepada jemaah.

Namun, terdapat situasi di mana ibu bapa sendiri tidak mengetahui sama ada anak-anak mereka berdaftar sebagai ahli PAS atau bahkan mengundi parti itu.

“Didikan awal bermula di rumah. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mencintai perjuangan Islam akan menjadi pelapis dan pewaris jemaah.

“Tetapi hakikatnya ada pimpinan dan ahli yang tidak menghantar anak-anak ke institusi pendidikan PAS seperti PASTI, DAR, SRITI atau SMITI,” ujarnya.

Beliau menambah, program borang hijau yang pernah dilaksanakan sebelum ini dilihat sebagai langkah terbaik untuk memastikan setiap ahli keluarga didaftarkan sebagai ahli PAS, selain memantapkan tarbiah dan kesatuan dalam rumah tangga ahli parti.

“Cadangan ini turut menekankan kepentingan keluarga PAS sebagai ‘kilang kader’ yang melahirkan pendakwah, guru, pemimpin dan pejuang Islam di masa hadapan, seterusnya mengukuhkan kekuatan jemaah di semua peringkat,” tambah Ustaz Hadi.