UNHCR tolak saranan Myanmar pindahkan kaum Rohingya ke khemah pelarian

795

Ketua UNHCR, Encik Antonio Guterres. berkata bukan tugas badan dunia berkenaan menguruskan nasib golongan etnik itu yang tidak mempunyai sebarang kerakyatan itu.

“Program pemindahan anjuran UNHCR ialah bagi pelarian yang melarikan diri dari satu negara ke satu negara lain kerana sesuatu yang berlaku. Jelasnya, keadaan (etnik Rohingya) bukan seperti itu,” kata Encik Guterres.

Kelmarin, Presiden Myanmar, Encik Thein Sein, memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa penyelesaian kepada konflik agama di negeri Rakhine adalah dengan menghantar etnik Rohingya beragama Islam ke khemah-khemah pelarian atau mengusir mereka.

Laman web rasmi Presiden Myanmar melaporkan Encik Thein Sein sebagai berkata, Myanmar akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya tetapi tidak akan menerima etnik Rohingya yang memasuki negara ini secara tidak sah.

Beliau berkata, krisis itu hanya boleh diselesaikan dengan menghantar etnik Rohingya yang berjumlah kira-kira 800,000 di Myanmar ke khemah pelarian yang diselia UNHCR.

“Kami akan menghantar etnik Rohingya ke mana-mana negara Dunia Ketiga yang mahu menerima mereka,” katanya kepada Encik Guterres.

Encik Thein Sein berkata, ia merupakan penyelesaian kepada konflik etnik dan agama di Rakhine yang difikirkan oleh pihaknya.

Keganasan etnik dan agama melanda Rakhine antara etnik Rakhine beragama Buddha dengan etnik Rohingya pada Jun lalu, memaksa berpuluh ribu orang meninggalkan kediaman mereka bagi menyelamatkan diri.

PBB berkata, diskriminasi sejak berdekad-dekad lalu menyebabkan etnik Rohingya tidak dianggap sebagai rakyat Myanmar dengan kerajaan dilapor mengehadkan pergerakan serta tidak membenarkan kumpulan itu memiliki tanah, pendidikan dan menikmati perkhidmatan lain.

Menurut UNHCR, kira-kira satu juta etnik Rohingya dipercayai tinggal di luar Myanmar.

Namun, mereka tidak diterima oleh mana-mana negara Dunia Ketiga.

Bangladesh telah mengusir bot-bot membawa etnik tersebut sejak keganasan tercetus di Rakhine.

Jurucakap UNHCR Asia, Cik Kitty McKinsey, berkata, pada asasnya, Myanmar tidak menganggap penduduk Islam di utara Rakhine sebagai warganegara mereka.

“Kami merasakan penyelesaiannya adalah memberikan mereka status kewarganegaraan Myanmar,” ujarnya. – AFP, AP.