“PASTI Mendoakanmu” Untuk Mangsa Tragedi Bas Bawa Mesej Mendalam

424

KUALA TERENGGANU – Program “PASTI Mendoakanmu” yang dilaksanakan berikutan mangsa nahas tragedi bas UPSI memberi mesej mendalam tentang nilai simpati, sokongan moral dan pembentukan akhlak mulia dalam kalangan anak-anak sejak usia seawal empat hingga enam tahun.

Pengarah PASTI negeri Terengganu, Cikgu Syamri Razak, berkata program seumpama ini seharusnya menjadi amalan di semua PASTI di negeri ini sebagai sebahagian daripada pendidikan akhlak dan pembentukan nilai kemanusiaan dalam diri pelajar.

“Tujuan utama program ini adalah untuk memberi sokongan moral kepada keluarga yang sedang diuji dengan kehilangan anak, di samping mendidik murid-murid tentang nilai simpati dan kasih sayang terhadap insan lain, khususnya ketika berdepan musibah.

“Ini bukan sekadar ziarah. Kita mahu tanam nilai akhlak Islamiah dalam diri anak-anak ini sejak kecil. Apabila mereka dewasa kelak, nilai itu akan berkembang secara semula jadi dalam diri mereka,” jelas beliau ketika dihubungi semalam.


Menurutnya, antara pelaksanaan terkini program tersebut melibatkan beberapa buah PASTI di daerah Besut yang mengatur lawatan ke dua buah rumah keluarga mangsa nahas bas UPSI baru-baru ini.

“Murid-murid berusia empat hingga enam tahun telah dibawa menziarahi dua keluarga mangsa yang kehilangan anak mereka dalam tragedi tersebut, masing-masing di kawasan Hulu Besut dan Jertih.

“Majlis tahlil ringkas diadakan, diikuti dengan bacaan doa dan al-Fatihah yang disampaikan oleh anak-anak PASTI sendiri,” katanya.

Cikgu Syamri turut berkongsi detik menyentuh hati apabila salah seorang ibu mangsa tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata sewaktu anak-anak kecil membacakan doa di hadapan rumahnya.

“Walaupun mereka masih kecil, kehadiran murid-murid PASTI ternyata memberikan kekuatan dan ketenangan buat si ibu yang sedang diuji.

“Ia membuktikan bahawa pendidikan awal yang menekankan aspek rohani, emosi dan sosial amat penting dalam membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memiliki nilai ummah dan akhlak mulia,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa salah seorang mangsa, Muhammad Mustaqim bin Rosde dari Kampung Telaga Nibong, merupakan alumni PASTI kira-kira 15 tahun lalu.