Redha, Sokongan Dan Tindakan Adalah Kunci

326

KUALA TERENGGANU – Dalam suasana duka yang menyelubungi keluarga mangsa nahas bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kehadiran Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut (DMPKB) membawa mesej penting kepada keluarga yang terlibat dengan kekuatan dan redha adalah kunci dalam menghadapi musibah.

Ketuanya, Ustazah Fadilah Syed Hamid berkata, kunjungan ke lima buah rumah keluarga mangsa bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan, tetapi lebih besar daripada itu menyuntik semangat dan sokongan kepada keluarga yang diuji.

“Kalau ikutkan mereka memang tak kuat tetapi bila ramai datang menziarahi, memberi kata semangat, keluarga mangsa rasa tidak bersendirian.

“Itulah erti sebenar ukhuwah dalam Islam,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.

Menurut beliau, semua mangsa yang diziarahi merupakan pelajar yang cemerlang dan harapan keluarga, namun Allah lebih menyayangi mereka.

“Kita sayang anak-anak kita, tapi Allah lebih sayang mereka. Pemergian ini sangat baik, dalam keadaan mereka sedang menuntut ilmu.

“Kami redha dan doakan mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya dengan nada sebak.

Justeru itu, beliau turut menyeru masyarakat agar terus mendampingi al-Quran, memperkukuh keimanan dan melihat segala kejadian sebagai ujian yang mempunyai hikmah tersirat.

“Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Sebaik-baik aturan adalah aturan Allah dan kita hanya mampu merancang dan berusaha,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Ustazah Fadilah turut menyentuh isu keselamatan jalan raya terutama laluan Timur-Barat yang telah lama dibangkitkan.

“Insya Allah, suara rakyat akan terus didengari.

“Kami harap perkara ini mendapat perhatian Ahli Parlimen dan pihak kerajaan agar kejadian seperti ini tidak berulang,” ujar beliau.

Tambahnya, ziarah yang turut disertai dengan sumbangan ikhlas daripada ahli Muslimat menjadi bukti bahawa masyarakat, tanpa mengira latar belakang, bersatu dalam menghadapi saat-saat getir bersama.

“Kami datang sekadar yang mampu, memberi sedikit sumbangan, tetapi yang paling penting adalah sokongan moral dan doa berterusan untuk mereka,” tambahnya lagi.