Politik yang lahir dari acuan dunia persepsi harus bergerak secara yang lebih realistic untuk melahirkan negara maju yang lebih kondusif, releven dan competitive.
Semuanya harus bersandarkan kepada fakta, hujahan dan bukti yang akhirnya mampu melahirkan sebuah negara yang dihormati dan kepimpinan yang disegani.
Sebagai contoh, sikap sebahagian pemimpin UMNO yang sudah mula mendekati podium untuk berhujjah secara berdepan dengan PAS dan Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk iklim politik yang lebih terbuka. Rakyat melihat, menilai dan membuat rumusan berasaskan fakta yang diberi. Dan rakyat gembira dengan proses ini.
Sebab itu, adalah suatu yang malang apabila Perdana Menteri (Dato’ Seri Najib Tun Razak) diam membisu dalam cabaran debat untuk sepentas bersama dengan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia (Dato’ Seri Anwar Ibrahim). Bahkan Menteri Besar Terengganu (Dato’ Ahmad Said) semacam menikus apabila dicabar oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu samada untuk mengimplimentasi perancangan masing-masing untuk penilaian rakyat mahupun merungkai segala isu yang membelenggu pemerintahan kerajaan negeri masakini.
Lantaran itu, jika ianya masih tidak bersahut; saya mencadangkan agar Debat Prestasi Pemerintahan diadakan khusus bagi negeri Terengganu yang melibatkan Menteri Besar dan mantan Menteri Besar. Saya maksudkan ialah Dato’ Ahmad Said, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang serta seorang exco di zaman pemerintahan beliau.
Sehubungan dengan itu juga PAS menggesa agar pihak-pihak tertentu yang akhir-akhir ini seringkali menimbulkan kekecohan dan provokasi terhadap program dan pimpinan Pakatan Rakyat agar segera menghentikan pendekatan tersebut. Trend politik itu sudah berlalu. Bahkan ianya akan menambahparah keadaan sebuah bahtera usang yang semakin karam dimamah usia. UMNO harus mencari ‘panadol extra’ untuk melegakan sedikit kerungsingan tersebut.
Sekian dan terima kasih.
Yang benar,
Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad
Yang DiPertua PAS Kawasan Besut
Merangkap Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu
Tarikh : 3 Julai 2012










