Ayah Jangan Ego!

586

Oleh ; Fatimah Din

KEMAMAN – Seorang ayah muslim tidak seharusnya memimpin keluarga dengan ego, sebaliknya wajib memimpin dengan iman dan nilai-nilai Islam.

Ketua Eksekutif Kolej Al-Quran Terengganu, Prof Madya Dr Wan Mat Wan Sulaiman berkata, seorang suami perlu menjadi pemimpin yang mendengar dan memahami keluhan setiap ahli keluarga di bawah tanggungannya, termasuk isteri dan anak-anak.

“Kita sebagai suami perlu melihat sejauh mana kita membina rasa sakinah dalam rumahtangga, kita perlu melihat seorang isteri itu sebagai rahmah di dalamnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam slot bual bicara Motivasi Keluarga sempena Himpunan Teguh Memimpin Terengganu(TMT1.0) di Padang Astaka Chukai di sini yang diadakan pada petang Sabtu 31 Mei.

Mengulas lanjut, beliau berkata kebahagiaan rumah tangga bukan sesuatu yang datang secara spontan, sebaliknya perlu dibina melalui tanggungjawab bersama suami, isteri dan anak-anak.

“Allah jadikan kita sebagai pasangan, dan anak-anak sebagai amanah. Maka kita bertanggungjawab untuk membina, mendidik dan mentarbiyah mereka di dunia ini.

“Keluarga juga perlu dibentuk dengan pemakanan yang halal, thoyyiban (suci dan baik), serta menjaga aspek kebersihan dalam pemakanan dan pakaian.

“Penting juga untuk mendidik anak-anak supaya tahu membezakan yang baik dan buruk, dan jangan sesekali lalai daripada berdoa kepada Allah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan memilih pasangan yang kufu (serasi) bagi menjamin keharmonian rumah tangga.

“Jika tidak sekufu, rumah tangga boleh jadi porak peranda, jadi pasangan suami isteri perlulah serasi, tolong menolong dan membina kasih sayang,” tambah beliau lagi.