Menurut siaran media Lujnah Penerangan PAS Pusat, satu penyerahan notis tuntutan permohonan maaf dan saman malu kepada YAB Dato’ Seri Najib Razak di atas ungkapan ‘haram jadah’ akan diadakan di Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.
Serahan tersebut akan dibuat esok hari Jumaat 15hb Jun 2012 pada jam 3 petang.
Najib dalam ucapannya di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, Pahang dengan nada tegas dua kali mengulangi perkataan ‘haram jadah’.
Beliau dipercayai menujukan kata-kata itu kepada pihak yang menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.
Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, dipetik harkah daily berkata, kenyataan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang bergelar perdana menteri.
“Tak sangka perdana menteri yang dilihat bapa kepada rakyat, tetapi mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakyat sendiri,” katanya.
Yang menjadi persoalan kata Mazlan, apa yang menyebabkan Najib begitu marah sehingga sanggup mengeluarkan perkataan seperti itu.
“Perkataan ini jarang orang guna kecuali dalam keadaan terlalu marah.
“Dengan pengumuman durian runtuh itu, perdana menteri sepatutnya gembira kerana bakal mendapat sokongan dari peneroka. Tapi kenapa sampai perlu menyumpah haram jadah,” soalnya lagi.
Mazlan berkata, sepanjang pemerhatiannya dalam media arus perdana dari malam tadi dan hari ini, tiada pun media yang melaporkan kenyataan yang dikeluarkan Najib itu.







