sebagai pendidik dipikul dengan penuh kesabaran dan tanggungjawab. Tema hari guru pada tahun ini ialah “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”. Tema ini menuntut setiap guru untuk berinovasi bagi mencapai matlamat pembangunan pendidikan dan seterusnya pembangunan rakyat dalam negara ini.
Sifat inovatif itu hendaklah bergerak di atas landasan pintar yang membolehkan seseorang menilai kebaikan dan keburukan dalam kehidupan. Landasan ini telah digariskan oleh Allah S.W.T di dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau (Muhammad) hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu al-Quran Dalam bahasa Arab” ( Surah asy-Syura:7).
Sesungguhnya al-Quran adalah sumber kekuatan untuk menentukan nilai baik dan buruk sesuatu perkara. Rasulullah s.a.w menyatakan; “ Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya” (Maksud Hadis). Diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Apakah dasar yang hendak dipakai oleh guru bagi melonjakkan transformasi pendidikan negara dengan sifat inovatif yang ada pada guru itu? Tentulah ianya berlandaskan kepada membimbing setiap orang untuk memperolehi ilmu bagi mengenal Allah S.W.T dan melaksanakan syariat Islam. Rasulullah s.a.w menyatakan “ Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim” (Maksud Hadis) Diriwayatkan oleh Abu Daud.
Jelasnya usaha guru hendaklah didasarkan kepada pembinaan peribadi secara pintar dengan mengambilkira keperluan asas setiap individu untuk memahami al-Quran dan ilmu-ilmu asas Islam di samping bahasa Arab. Setiap guru perlu melaksanakan tugasnya secara berinovatif bagi melonjakkan transformasi pendidikan negara dan dalam masa yang sama mestilah menghapuskn nilai-nilai buruk yang merosakkan akhlak masyarakat pada hari ini. Nilai-nilai buruk ini tidak akan dapat dinyahkan daripada diri seseorang pelajar melainkan ada unsur pintar hasil daripada pendidikan al-quran, ilmu-ilmu fardhu ain dan bahasa Arab.
Hendaklah diingtkan bahawa segala pencapaian dalam pembangunan kebendaan tidak akan memberi apa-apa keuntungan tanpa pembangunan kemanusiaan yang tegak di atas kefahaman seperti yang dituntut oleh Islam.
Sekian, terima kasih dan Selamat Hari Guru.
Dato’ Ust. Abu Bakar Chik
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
15/05/2012
Kuala Terengganu.











