Kenyataan Datuk Ahmad Maslan dalam isu ini semalam membuktikan bahawa kerajaan tidak peduli dengan tuntutan dan kehendak rakyat. Bagi mereka, kepentingan peneroka felda boleh diketepikan begitu sahaja asalkan mereka mampu mendapat apa yang mereka inginkan. Ia adalah petanda bahawa kerajaan sekarang amat sombong dan bongkak dan memerintah negara ini mengikut selera mereka sahaja.
DPPM mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mahu menunggu sehingga majoriti peneroka felda memberi persetujuan mereka? Isu Felda adalah isu yang melibatkan peneroka, dan mereka berhak menentukan masa depan mereka sendiri. Malah ada peneroka yang telah membuat injunksi mahkamah bagi menghalang tindakan penyenaraian felda. Apabila ada bantahan ramai, menandakan ada sesuatu yang tidak kena dan sepatutnya kerajaan menangguhkan dulu usaha ini sebelum bertindak selanjutnya. Kerajaan sepatutnya belajar menghormati hak orang lain termasuk peneroka felda. Mereka yang selama ini bekerja membanting tulang bagi membangunkan felda sehingga felda mampu mencapai keuntungan yang besar. Tanpa mereka, felda tidak mungkin dapat bertapak atau bertahan sehingga hari ini.
Selain itu, tindakan kerajaan ini juga menunjukkan keadaan kerajaan UMNO-BN berada dalam terdesak bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13. Ramai mengesyaki, ada sesuatu agenda yang disembunyikan hasil dari penyenaraian ini. Mungkinkah kerajaan UMNO amat terdesak untuk menggunakan duit bagi hadapi PRU ke 13 sehingga duit hasil penyenaraian ini juga akan digunakan?
Banyak polisi dan dasar negara yang dibentangkan oleh kerajaan yang dibuat secara tergesa-gesa. Malah, sikap flip flop Perdana Menteri yang suka meluluskan dan membatalkan sesuatu dasar menjadi bahan ketawa rakyat. Dalam keadaan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang terpaksa ditarik balik hasil bantahan awam, mungkinkah isu penyenaraian Felda pula bakal menyusul sehingga kerajaan terpaksa menarik balik usaha ini setelah bantahan ramai pihak. Atau mungkinkah kerajaan mahu menunggu satu lagi himpunan aman terbesar dalam sejarah di Felda untuk membatalkan penyenaraian ini
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia



























