Pada Khamis, 9 Februari lalu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik dalam ucapannya di Majlis Mesra Media anjuran Badan Perhubungan PAS Terengganu telah meminta Ahmad menarik balik kenyataan yang ‘menghina’ PAS itu dalam masa tiga hari.
Setelah tempoh yang diberikan berlalu, Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu bukan sahaja tidak mahu menarik balik kenyataan, bahkan pada Isnin 13 Februari , beliau ‘berdegil’ membuat kenyataan dengan berkata bersedia diambil sebarang tindakan.
Oleh itu, semalam 14 Februari, Ustaz Abu Bakar berkata, beliau membuat satu laporan supaya polis menyiasat Ahmad Said dibawah akta hasutan.
“kami membuat ‘report’ kepada polis untuk menyiasat Dato’ Ahmad Said dibawah akta hasutan kerana beliau telah membuat kenyataan terbuka dan disiarkan oleh akhbar bahawa PAS adalah parti ajaran sesat,”ujarnya dalam sidang media di balai polis Kuala Terengganu.
Menurutnya, PAS tidak termasuk dalam ajaran sesat yang telah disenaraikan oleh Jabatan Agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Beliau mengulangi, tuduhan ‘ajaran sesat’ dalam erti kata terkeluar dan tereleweng dari ajaran Islam itu adalah amat berat berat bagi seorang Islam.
Tegasnya, PAS adalah satu parti politik yang sah, berperlembagaan ditubuhkan pada tahun 1951 mendokong dasar Islam yang bermatlamat untuk menegakkan pemerintahan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.
“(PAS) mempunyai perlembagaan yang jelas mendokong dasar-dasar Islam, matlamatnya ialah untuk menegakkan didalam Negara ini sebuah pemerintahan yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah
“dan seruannya ialah Allahu Akbar dan usaha-usahanya adalah usaha yang diharuskan menurut perlembagaan (Malaysia),”jelasnya.
Malah, katanya, pada setiap kali perlembagaan PAS dipinda, ia mendapat kelulusan dari pihak Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Beliau yang juga anggota Badan Pehubungan PAS Terengganu berkata, PAS melaksanakan usaha mendidik masyarakat memahami Islam dengan aktiviti ceramah, khutbah dan forum.
Bahkan, katanya, percakapan politik PAS juga tidak lari dari mendidik dan mengajak orang ramai memahami Islam.
“tiba-tiba Dato’ Mad Said kata sesat…… dengan sendirinya (dengan kata-katanya itu) orang-orang PAS pun sesat juga, pemimpin-pemimpin (PAS) pun sesat, penyokong-penyokong pun sesat juga,
“bayangkan bagaiman beratnya tuduhan yang telah dilakukan oleh beliau (Ahmad Said),”katanya.
Beliau menyatakan, termasuk dalam akta hasutan itu adalah hasutan dari sudut agama, perkauman dan raja-raja.
Oleh yang demikian, kata Ustaz Abu Bakar, tuduhan Ahmad Said itu adalah satu ‘hasutan agama’ yang akan menimbulkan keresahan dan kebencian dikalangan orang ramai terhadap orang-orang PAS.
“kerana itu kita minta polis menyiasat dibawah akta hasutan kerana (tuduhan Ahmad) adalah hasutan agama, supaya berlaku kebencian terhadap porang-orang PAS,
“bila orang-orang PAS dibenci rakyat, maka menanglah politik dia (Umno), ini ada niat jahat, samada tersurat atu pun tersirat,”tambahnya.
Turut hadir bersama rombongan membuat laporan polis tersebut adalah ADUN Ladang, Dato’ Tengku Hasan Omar, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Terengganu Zaidan Abdullah, Setiausaha PAS Kuala Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi DAP Ng Chai Hing dan lebih 30 orang pemimpin dan ahli PAS pelbagai peringkat.
Berita terkait;
PAS mita Ahmad Said tarik balik tuduhan
Ahmad Said celupar, biadap
http://www.youtube.com/watch?v=MjnkQspWySE



























