Rakyat desak tentera serah kuasa secara total

851

Kaherah – Ratusan pembantah yang mendesak penyerahan total kuasa kepada rakyat telah bertempur dengan tentera Mesir buat hari kedua berturut-turut semalam.

Kejadian tercetus semula selang beberapa hari selepas jutaan rakyat negara itu keluar mengundi pada pilihan raya parlimen, telah menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang maut dan lebih 300 lagi cedera

Pertempuran itu menunjukkan ketegangan yang masih wujud antara para aktivis dengan pasukan keselamatan Mesir, yang mengancam untuk mencetuskan satu lagi pusingan keganasan selepas melalui dua hari mengundi yang aman dalam pilihan raya yang dianggap paling bebas dan adil dalam sejarah moden negara itu.

Ratusan pembantah membaling batu ke arah pasukan keselamatan awal semalam, selepas pihak berkuasa mengepung jalan-jalan raya di sekeliling bangunan parlimen Mesir dengan pagar dawai.

Askar-askar di atas bumbung bangunan bertindak balas dengan membaling batu ke arah orang ramai, mendorong sesetengah pembantah memakai topi keledar, ceper satelit atau kepingan logam untuk melindungi diri masing-masing.

Keganasan itu bermula awal pagi kelmarin selepas askar-askar menyerbu sebuah kem protes antitentera di luar bangunan Kabinet dekat Dataran Tahrir. Para pembantah itu, yang mahukan pemerintahan tentera diakhiri segera dan mengalihkan kuasanya kepada penguasa sivil, dipaksa keluar

Pihak tentera Mesir mengambil alih pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak, yang digulingkan dalam satu pemberontakan pada Februari lalu.

Kumpulan hak asasi dan aktivis mendakwa bahawa pihak tentera sedang meneruskan amalan rejim lama termasuk menahan dan memukul para pembantah. — Agensi.