Laluan ke al-Aqsa as-Sharif dibuka semula

743

Israel telah membuka semula laluan jambatan kayu ke kawasan Masjid Al-Aqsa di sini, selang dua hari penutupannya mencetuskan kemarahan dikalangan umat Islam

‘Ia dibuka semula pagi ini (semalam). Ia telah dibuka seperti biasa kepada kededua penganut Kristian dan Yahudi,’ kata jurucakap Micky Rosenfeld.

Menurutnya, sebuah kereta bomba telah diletak berdekatan jambatan itu dan beberapa langkah keselamatan lain, yang tidak dijelaskan, telah diambil menyusuli pemeriksaan jurutera bandar.

‘Tiada apa diusik. Tiada sesiapa mengubah apa-apa,’ kata Encik Rosenfeld.

Ahad lalu, Israel menutup jambatan yang diberi nama Laluan Mughrabi itu atas, menurutnya, sebab-sebab keselamatan.

Laluan yang bakal diroboh itu dikatakan berisiko terbakar dan boleh roboh ke atas tempat sembahyang kaum wanita Yahudi di sebelah Tembok Barat.

Bagaimanapun, para pemimpin Islam berkata tindakan merobohkan jambatan tersebut akan menjejas kemantapan kawasan sekitar Masjid AlAqsa.

Kelmarin, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengarahkan supaya jambatan itu tidak diroboh dan sebaliknya diperkukuh sahaja.

Menurut laporan akhbar Israel, dalam tempoh beberapa hari mendatang kerja-kerja pembaikan akan dijalankan ke atas jambatan itu bagi memastikan ia kalis api dan mantap.

Majlis Bandaran Baitulmakdis yang mengarahkan penutupan laluan itu melahirkan rasa kesal atas kegagalan pemerintah menangani masalah laluan ‘berbahaya hodoh dan buruk di tengah-tengah Tembok Barat dan di pintu masuk Temple Mount (Al-Haram Al- Sharif).’

Keputusan Israel membaik pulih saja jambatan itu dipercayai diambil bagi mengelakkan krisis politik dengan Jordan, yang bertanggungjawab menguruskan tapak suci Islam di Baitulmakdis.

Jurucakap Presiden Palestin, Encik Nabil Abu Rudeina, menyifatkan penutupan jambatan itu sebagai ‘serangan’ Israel ke atas usaha menyambung semula rundingan damai Timur Tengah.

Jordan pula telah beberapa kali menolak tindakan merobohkan jambatan itu, yang merupakan salah satu daripada 15 pintu masuk ke kawasan Masjid Al-Aqsa.

Buat masa ini, 10 daripada pintu masuk itu beroperasi.

Laluan Mughrabi hanya digunakan oleh bukan Muslim. Ia dibina pada 2004 sebagai laluan sementara selepas struktur sebelum itu roboh.

Operasi membaik pulih jambatan itu tertangguh empat tahun lalu berikutan satu gelombang bantahan di seluruh negara Islam. — AFP.