Kerjasama Politik Bukan Kerana ‘Gila Kuasa’

2610

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Kerjasama politik PAS dengan parti-parti lain bukan kerana ‘gila kuasa’ tetapi umtuk masa depan Melayu Islam di negara ini.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Hj Ahmad berkata, sekiranya bukan kerana Islam, PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno dan sebaliknya memilih parti yang sedang memerintah.

“Kita berta’awun, bekerjasama, berunding dengan Umno harini bukan kerana (gila) kuasa, jika (mahu) kuasa kami tidak bersama Umno, kami sudah memilih Pakatan Harapan (PH).

“Kita berpolitik untuk bawa ke akhirat, untuk bekalan mati,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Marang kali ke-35, di sini pada Sabtu 6 April.

Tambahnya , PAS sendiri pernah ditawarkan untuk bersama PH tapi menolaknya kerana Islam.

“Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Mukhriz, Dato’ Rais, Datuk Rashid bertemu kami, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim, Dato Mustaffa Ali, Dato Takiyuddin dan saya di sebuah hotel sekitar Bangsar,

“Mereka ajak PAS bergabung bersama PH, kami kata tak apa….boleh asalkan tidak bersama DAP,” jelasnya.

Yahaya Ali

Sementara itu, pada mesyuarat tersebut, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah sebulat suara menerajui kawasan Marang bagi sesi 2019-2021.

Beliau mengambil alih kepimpinan utama, Yang Dipertua PAS, menggantikan Haji Yahaya Ali yang telah memegang jawatan tersebut selama 10 tahun.

Manakala Timbalan Yang Dipertua masih disandang oleh Ustaz Mohd Nor Hamza dan begitu juga Naib Yang Dipertua, Ustaz Ariffin Deraman.

Turut kekal kepimpinan dalam sayap parti kawasan Marang ialah Ketua Muslimat, Hajah Zarani Othman dan Ketua Pemuda, Yusuf Abdul Hadi.