DWPP sokong usaha kerajaan Selangor tetapkan gaji

855

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong usaha kerajaan Selangor dalam melaksanakan gaji minimum dengan menetapkan RM 1,500.00 sebagai gaji permulaan di syarikat-syarikat milik kerajaan negeri mulai tahun depan.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, langkah kerajaan Selangor mendahului kerajaan Persekutuan yang dianggap lembap dalam membuat keputusan berhubung penetapan gaji minimum.

Katanya, usaha itu selari dengan kehendak rakyat yang mahukan gaji minimum ditetapkan pada suatu kadar yang munasabah.

“Rakyat dihimpit dengan kesempitan hidup ekoran kenaikan harga barang serta kos hidup yang serba meningkat, lantaran itu penetapan gaji minimum amat wajar dilaksanakan.

“Ini kerana masih ramai kakitangan bawahan mendapat gaji yang sangat rendah dan berada di bawah paras kemiskinan. Mereka tidak mampu menampung kehidupan serta keluarga mereka sehingga akhirnya terpaksa melakukan pelbagai kerja sampingan bagi menampung kehidupan,” katanya dalam kenyataan media yang dihantar kepada Buletinonline.

DPPWP berharap langkah kerajaan Selangor dapat dicontohi oleh kerajaan negeri lain dengan menetapkan gaji minimum kakitangan di negeri masing-masing.