Marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kepada allah swt atas limpah rahmatnya memberikan kesempatan kepada kita semua, untuk berada dalam majlis yang sangat mulia pada hari ini.
2. Terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menjemput saya untuk hadir dalam program Penghayatan Hari Arafah yang cukup bermakna pada malam ini.
3. Sempena berkumpulnya jutaan umat Islam di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah untuk berwukuf. Maka, pada malam ini kita juga mengambil inisiatif berkumpul di Taman Tamadun Islam untuk sama-sama mengikuti Program Penghayatan Hari Arafah. Moga-moga penghayatan ini akan membangunkan ketamadunan Islam dalam diri dan negeri yang kita cintai.
4. Di Malaysia, 9 Zulhijjah jatuh pada 21 Ogos 2018 iaitu esok, maka adalah sangat dituntut kepada umat Islam yang tidak menunaikan Haji di Mekkah untuk berpuasa sunat. Ini dijelaskan dalam Hadis Nabi S.A.W
Dari Abu Qatadah al-Ansari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w telah ditanya mengenai puasa hari Arafah, lalu Baginda menjawab: “Puasa hari Arafah itu menghapuskan dosa yang dilakukan pada tahun yang sebelumnya dan tahun akan datang.”
(Riwayat Muslim)
Manifestasi Hari Arafah
5. Perhimpunan di Arafah membawa banyak pengajaran untuk diambil oleh kita semua. Perhimpunan yang tidak membeza-bezakan darjat kedudukan manusia, kaya atau miskin, warna kulit dan bahasa, semuanya berpakaian putih yang sama dan berada diatas padang yang sama, menunjukkan bahawa Islam itu merupakan agama yang tidak membeza-bezakan umatnya kecuali ketaqwaan.
6. Manifestasi itulah, seharusnya menjadi pengajaran dan panduan buat kita semua terutamanya Kerajaan Negeri Terengganu, untuk berlaku adil kepada semua rakyat dan warga tanpa melihat kedudukan, warna parti dan sebagainya. Semuanya mesti dilayan secara saksama sebagai rakyat negeri Terengganu.
7. Hari Arafah juga menjadi simbolik kepada penyatuan umat Islam yang datang dari pelbagai negara dan kaum. Semuanya berkumpul dan bersatu dibawah satu panji iaitu Islam.
8. Kesatuan ini sewajarnya diperkukuhkan dalam kehidupan seharian umat Islam di seluruh dunia dan di Malaysia khususnya. Umat Islam wajib bersatu memperjuangkan dan mempertahankan agenda Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan, Islam Agama Persekutuan. Inilah kekuatan yang mahu kita natijahkan dari penghayatan terhadap Hari Arafah.
Hadirin dan Hadirat Sekalian,
9. Perhimpunan umat Islam di Arafah juga mengingatkan kita akan satu perhimpunan perdana yang akan kita tempuhi nanti, iaitu perhimpunan seluruh umat manusia di Padang Mahsyar. Seharusnya, Hari Arafah ini memberikan keinsafan kepada kita semua untuk bermuhasabah diri sebelum dipanggil menghadap Allah Taala.
10. Sekaligus menambahkan keimanan kita terhadap Hari Akhirat, hari yang akan dipersoalkan segala amal perbuatan yang kita lakukan di dunia ini, sebagaimana firman Allah Taala,
“ Pada hari ini (Hari Akhirat) Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan-tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki-kaki mereka terhadap apa yang telah mereka usahakan.”
(Yassin : 65)
11. Hari Arafah sewajarnya menjadikan umat Islam sebagai manusia yang berintegriti dan mempunyai akauntabiliti dalam kehidupan seharian. Ini kerana mereka memahami, kehidupan mereka di dunia hanyalah persinggahan. Penghayatan dan kefahaman sebegini, mampu membendung budaya yang tidak sihat seperti penyelewengan, masalah sosial, rasuah dan sebagainya, In sya Allah.
12. Sebagai akhirnya, saya sekali lagi menyeru semua yang hadir pada hari ini untuk sama-sama menghayati dan memahami signifikan Hari Arafah untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Semoga pada tahun hadapan, kita pula dipilih oleh Allah Taala, untuk berkumpul di padang Arafah bersama-sama saudara kita dari seluruh dunia.
13. Dengan lafaz yang mulia, Bismillahirohmanirrahim, saya merasmikan Program Penghayatan Hari Arafah, Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman.
Sekian,Terima kasih.
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu











